Berita

Kita ‘merdekakan’ PBKL

PBKL 'merdeka' daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kini hanya dipenuhi pekerja warganegara Malaysia. PBKL 'merdeka' daripada pendatang asing tanpa izin (PATI) dan kini hanya dipenuhi pekerja warganegara Malaysia.
- Diterbit 8 September 2020 2:58 AM MYT

MUKADIMAH

MENJAWAT jawatan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dalam keadaan negara dan dunia diserang wabak COVID-19 bukanlah sesuatu yang mudah, tambahan pula ia adalah virus baharu yang belum ditemui vaksinnya.

Namun, penyandangnya, Datuk Seri Dr Santhara berjaya menghadapi setiap cabaran dan  permasalahan yang timbul dengan tenang menerusi dokongan serta sokongan yang diberikan ketua-ketua jabatan.

Malah, walaupun terpaksa berjauhan dengan keluarga yang terkandas di Oakland, New Zealand, beliau sedikit pun tidak menyerah kalah sebaliknya memanfaatkan masa yang ada sehingga 15 jam sehari demi mensejahterakan rakyat khususnya warga kota.

Bagi menelusuri setiap cabaran dan tindakan yang dilakukan sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Penolong Pengarang Wilayahku, Nazwin Nazri
dan Wartawan Kanannya, Aini Mawawi menemubual beliau di pejabatnya di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Jumaat lalu.

SANTHARA semasa ditemubual wartawan Wilayahku.

WILAYAHKU: Apakah tugas utama Datuk Seri sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan bagaimana peranan tersebut dilaksanakan?
laksanakan?
SANTHARA:
Bagi saya sebagai Timbalan Menteri, tugas utama adalah bekerjasama dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa dan memastikan setiap tindakan yang dilakukan termasuk sekecil-kecilnya (memberi lesen berniaga) dilaksanakan dengan cara terbaik.

Perkara kedua, yang lebih besar adalah dasar, polisi dan sebagainya memberi manfaat kepada warga kota khususnya.

Contohnya, polisi membasmi kemiskinan bandar. Kita laksanakan pelbagai program Cakna Wilayah yang mana antara programnya adalah MySchoolBus, MyMedic dan Program Residensi Prihatin di samping memberikan lesen sementara untuk mereka yang hilang pekerjaan atau ditamatkan pekerjaan mahupun yang dikurangkan gaji dan sebagainya.

Ia memberi manfaat kepada golongan memerlukan terutama mereka yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Setidak-tidaknya, pemberian lesen penjaja ini akan mengurangkan masalah kewangan yang mereka hadapi akibat diberhentikan kerja atau dikurangkan gaji.

Ini kerana, mereka memang mempunyai komitmen tersebut dan secara tiba-tiba dalam satu hari mereka bangun sudah ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Itu merupakan satu cabaran dan perkara ini kita jalankan dengan cara profesional.

Satu ayat yang boleh menjelaskan pentadbiran Perikatan Nasional adalah ‘Kementerian Wilayah Persekutuan menitikberatkan idealisme profesionalisme’.

WILAYAHKU: Jadi, dalam tempoh Datuk Seri menjawat jawatan sebagai Timbalan Menteri, apakah sumbangan atau kejayaan terbesar yang diperoleh?
SANTHARA: 
Pertama sekali yang paling dihargai adalah saya mendapat seorang menteri yang berwibawa. Beliau bukan saja melaksanakan dasar dan sebagainya tetapi turut memberi tunjuk ajar kepada saya dan ini kali pertama saya menjadi anggota pentadbiran kerajaan sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Keduanya, kami dapat bekerjasama sebagai satu pasukan.

Dan ketiganya, terdapat kejayaan-kejayaan yang kita kecapi atau quick win. Saya katakan ia quick win walaupun membabitkan masalah lebih 22 tahun contohnya, Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) dikelilingi kira-kira 18,000 warga asing dan di sana hanya ada satu balai polis yang mempunyai 18 orang kakitangan.

Penguatkuasa DBKL pula mempunyai kekangan tertentu. Dalam tempoh 21 hari, tugas pertama yang diberikan kepada saya adalah untuk menangani masalah ini dan kejayaan yang kita dapat lihat pada masa ini apabila terdapat 1,600 orang warga tempatan berpeluang bekerja di PBKL manakala tiada lagi pekerja warga asing. Kita ‘merdekakan’ Pasar Borong Kuala Lumpur.

Tindakan tersebut sekali gus membuktikan bahawa kesimpulan yang menyatakan anak tempatan tidak minat bekerja di pasar borong adalah tidak benar, malah masih ramai yang mahu bekerja di situ tetapi peluang tiada. Bagi saya itu satu pencapaian besar.

KETIADAAN warga asing menjadikan penduduk setempat semakin selesa untuk membeli barangan keperluan harian di Pasar Borong Kuala Lumpur.

Ini kerana, jika anak muda kita diberi peluang dan dibayar mengikut harga pasaran, pastinya ramai lagi yang ingin merebut peluang tersebut.

Ini merupakan satu lagi cabaran di Malaysia kerana seringkali dibuat kesimpulan yang lebih awal daripada mengkaji perkara itu berbanding diberi peluang.

Keadaan lebih terbuka apabila tindakan tegas termasuk menarik balik lesen perniagaan kepada rakyat tempatan yang mempunyai lesen tetapi memberi sewa kepada warga asing.

Selain itu, kita juga laksanakan penguatkuasaan dan ia merupakan cabaran besar kerana setiap dua jam ada usaha-usaha untuk warga asing ini berniaga di luar PBKL.

Ini bukan peperangan yang kita boleh menang dalam satu hari malah ia merupakan masalah yang berlarutan selama 23 tahun, takkan boleh selesai dalam masa 23 hari.

Setidak-tidaknya beri kita masa 23 minggu kerana kita telah berjaya selesaikannya dalam tempoh sebulan. Kini, kita mahu pastikan setiap prosedur operasi standard (SOP) diadaptasi pemborong, penjaja, peniaga mengikut norma-norma baharu.

WILAYAHKU: Kita melihat persepsi negatif ini wujud lebih 20 tahun, jadi bagaimana Datuk Seri berusaha mengubah persepsi yang sudah membelenggu lama iaitu daripada negatif kepada positif.
SANTHARA: 
Bagi saya, Kementerian Wilayah Persekutuan yang diketuai oleh Tan Sri TPr Annuar Musa tidak ada yang mustahil iaitu kalau kita nak buat, kita rancang dan selepas itu kita laksanakannya dengan teliti.

Kita tidak tunduk pada tekanan luar atau politik supaya ia berjaya dilaksanakan.

Kalau nak kata perubahan, satu saja perkataan iaitu kejayaan. Kejayaan yang kita telah kecapi adalah kejayaan di mana warga tempatan dapat bekerja dengan begitu ramai manakala kebanjiran
pendatang asing tanpa izin diatasi. Itu merupakan titik tolak yang kita umpamakan dengan hijrah.

Ia satu signifikasi yang penting seperti hijrah dalam sejarah Islam. Maka dalam konteks ini, kita juga harus bergerak kepada kebaikan.

Tapi yang penting adalah menyelesaikan masalah untuk kehidupan yang lebih baik.

WILAYAHKU: Apakah fokus utama dalam pentadbiran di Kementerian Wilayah Persekutuan dan apakah peranan Datuk Seri sebagai Timbalan Menteri?
SANTHARA: 
Fokus utama adalah untuk melaksanakan tanggungjawab dengan penuh profesionalisme tanpa mengambil kira isu politik.

Paling utama sekali adalah keprihatinan terhadap rakyat kerana masa ini mereka sedang susah.

Bila rakyat susah, perkara utama adalah memastikan bagaimana untuk membantu mereka.

Maka, semua dasar yang kami laksanakan atau program yang dilakukan adalah untuk membantu memudahkan rakyat.

Maka, kita kena jadi mesra rakyat. Sebab itu kita mendapati tatkala penguatkuasa mengambil tindakan terhadap warga asing, adakalanya terkena warga tempatan.

Oleh itu, kita terus membantu dia. Mungkin kawasan itu tidak boleh berniaga, jadi kita carikan kawasan lain.

WILAYAHKU: Adakah ia bermaksud, setiap tindakan yang diambil akan ada penyelesaiannya?
SANTHARA:
Kita mencari penyelesaian terbaik di mana semua pihak menang.

Maka fokus utama adalah kami perlu bersikap profesional dan mencari penyelesaian win-win basis. Maksudnya, semua pihak menang, kita tidak mahu ada win-lose situation

WILAYAHKU: Boleh Datuk Seri kongsikan bagaimana mewujudkan keserasian bersama Menteri Wilayah Persekutuan?
SANTHARA:  Keserasian itu wujud kerana pertama sekali, saya amat menghormati Yang Berhormat Menteri kerana selama dua tahun saya di Parlimen, saya mendapati beliau berucap dengan cara berhemah, menggunakan bahasa yang betul dan fakta yang digunakan adalah daripada dasar yang dibentangkan kementerian. Jadi secara peribadinya, saya sudah ada rasa hormat.

Keduanya, pengalaman Tan Sri yang begitu lama dalam politik. Ini suatu yang saya bangga kerana saya dapat belajar daripada beliau.

SANTHARA (kanan) sentiasa bersama-sama dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa bertemu penduduk.

Kerana untuk belajar daripada seseorang itu adalah kita memerlukan seorang guru yang bukan saja berpengalaman tetapi juga berkebolehan. Kebetulan saya mendapat kedua-duanya.

Dan ketiganya, Tan Sri juga bersikap terbuka dan memberi peluang serta ruang kepada saya untuk bekerja dan juga terus berkhidmat sehingga membolehkan keputusan yang saya buat diterima.

Tan Sri juga mengizinkan Timbalan Menterinya mempengerusikan jawatankuasa pengurusan bencana peringkat negeri. Maksudnya, satu kepercayaan diberikan, jadi tanggungjawab saya adalah
untuk melaksanakannya dengan baik.

Akhir sekali, matlamat saya adalah untuk memastikan matlamat Tan Sri TPr Annuar Musa dilaksanakan. Kita bekerja sebagai satu pasukan.

WILAYAHKU: Kita sedia maklum bagaimana cabaran dalam menangani COVID-19. Adakah Datuk Seri bersedia jika gelombang ketiga melanda?
SANTHARA: 
Satu kelebihan yang ada sekarang adalah pengalaman yang mana kita mengatasi gelombang COVID-19 yang pertama dan kedua.

Gelombang pertama adalah semasa kita menghadapi PKPD di City One Plaza. Kita sudah ada pengalaman tentang tidak ada SOP, tidak ada satu gerak kerja yang dirancang kerana apabila ada masalah kita terus cari penyelesaian ‘ad hoc’.

Tetapi sekarang kita sudah ada perincian, SOP, jentera dan sebagainya. Maka yang penting kita dapat melaksanakan kerja dengan lebih cepat.

Dan pengalaman serta kejayaan yang kita hadapi dalam pengurusan krisis itu, kita sedari yang minggu ini sudah 80 kali kita bermesyuarat dalam masa kurang daripada enam bulan. Yang mana semasa PKPD, kita laksanakan mesyuarat setiap hari dan sekarang kita adakan dua kali iaitu Selasa dan Jumaat. Maksudnya, kita belum ‘stand-down’.

Kuala Lumpur menjadi peneraju dalam penularan COVID-19 kerana keadaan di sini sesak dengan warga asing. Pengalaman yang kami ada ini akan mencari penyelesaian terbaik.

WILAYAHKU: Secara peribadi, Datuk Seri membantu menerajui Wilayah Persekutuan dan kerajaan masa kini dalam keadaan wabak COVID-19.
Adakah Datuk Seri merasa bimbang atau khuatir untuk menjalankan tugas?
SANTHARA: 
Kebetulan hari pertama selepas angkat sumpah, dalam masa dua tiga hari pada minggu pertama sudah ada PKP. Maksudnya kerja pertama saya berada dalam Pusat Pengurusan
Krisis (CMC).

Ini merupakan pengalaman pertama saya sebagai Timbalan Menteri dan keadaan memang berbeza dalam dunia korporat.

Saya dari korporat, memang banyak pengalaman sebagai ketua pengarah eksekutif, pengarah eksekutif dan sebagainya, tapi pengalaman dalam kementerian adalah lain kerana kementerian ada
punca kuasa yang diberikan.

Maka, di sini bukanlah menggunakan jawatan Timbalan Menteri tetapi cabarannya adalah memastikan saya diterima sebagai pengerusi mesyuarat dan mendapat sokongan daripada semua ahli-ahli yang mungkin baru dikenali.

Nervous mungkin ada pada satu jam pertama tetapi dokongan yang mana menteri bersama dengan kita dan memberi saya peluang sangat membantu. Beliau berikan saya sokongan moral.

Dengan adanya krisis, jadi banyak pengalaman yang biasanya perlukan masa 10 tahun, saya belajar dalam masa yang amat singkat iaitu dalam tempoh dua bulan kerana tindakan perlu dibuat,
keputusan perlu diambil dan masalah rakyat harus diatasi.

WILAYAHKU: Adakah itu pengalaman manis Datuk Seri sepanjang pentadbiran?
SANTHARA: 
Pengalaman manis adalah bukan hanya saya diterima dalam kalangan ahli mesyuarat tetapi berjaya menyelesaikan masalah seperti melibatkan warga asing yang mana wang daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak boleh digunakan untuk warga asing.

Apabila kita melaksanakan PKPD, kita perlu menyediakan makanan kerana di Selangor Mansion dan Malayan Mansion, kebanyakkan warga asing tidak ada dapur dan bahan mentah.

Maka saya perlu carikan sumbangan. Kita dapatkan sumbangan daripada syarikat korporat dan swasta. Itu merupakan pengalaman manis yang perlu dibuat dan dilaksanakan dalam masa tiga
hari.

Ada juga pengalaman pahit apabila kita buat kerja tetapi pihak pembangkang cuba memperkecilkan dan membuat fitnah melulu, tetapi saya terima itu sebagai cabaran kerana yang pentingnya rakyat dibantu.

WILAYAHKU: Dengan pengalaman yang ada dalam bidang pentadbiran, apakah hala tuju yang ingin dicapai dan ditetapkan?
SANTHARA: 
Pertama sekali adalah profesionalisme.

Keduanya adalah do not leave no stone unturned ataupun dalam erti kata lain kita pandang dari segi setiap sudut dan mengambil pandangan daripada pelbagai pemegang taruh.

Ketiganya, perlu ada pengalaman secara komprehensif atau balcony view, kerana ia penting supaya saya dapat melihat secara keseluruhan dan seterusnya mendapat satu hala tuju yang lebih jelas sama ada perancangan strategik atau taktikal yang lebih jitu untuk dilaksanakan.

DATUK SERI DR SANTHARA

PENGLIBATAN POLITIK
Ahli Parlimen Malaysia (P:140 Segamat)

PENDIDIKAN
2015-2016: Ijazah Sarjana Komunikasi Korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM)
2011-2013: Executive Master Degree in Consulting and Coaching for Change (EMCCC) di INSEAD
2007-2011: Doctorate of Business Administration (DBA), University of Newcastle, Australia
1996-1998: Master of Business Administration (MBA) di University Strathclyde, Scotland, UK
1998-1999: Postgraduate Diploma in Marketing di Chartered Institute of Marketing, UK
1990-1994: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) Universiti
Kebangsaan Malaysia (UKM)

KEAHLIAN PROFESIONAL
Felo Kehormat (ABE) Association of Business Executive, UK
Ahli Felo (FMIM) Malaysian Institute of Management
Ahli Felo (FMIHRM) Malaysian Institute of Human Resource Management
Ahli Bersekutu Harvard Business School Alumni Club of Malaysia
Alumni AGLPCambridge Judge Business School

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas