Artikel

Kisah Guru Pendidikan Khas Setapak

ANTARA pelajar yang mengikuti kelas kraf tangan manik dibimbing oleh Saiful.
- Diterbit 20 Mei 2022 6:00 AM MYT

SABAN tahun, Sambutan Hari Guru bukan sahaja menjadi acara wajib yang dianjurkan di seluruh negara, bahkan ia turut diraikan secara meriah dengan pelbagai aktiviti diatur khusus buat golongan pendidik ini.

Sambutan diadakan biarpun secara sederhana namun penuh bermakna sekali gus menjadi kenangan terindah yang kekal terpahat dalam memori insan yang rela membakar diri untuk menerangi orang lain.

Berkongsi pengalaman sebagai guru pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas Setapak (SMKPKS), Saiful Amir Che Hamid, 39, dia teruja dapat menyambut bersama pelajar berkeperluan khas kurang upaya penglihatan.

Alhamdulillah sambutan di SMKPKS kembali meriah. Kami semua sangat teruja kerana pada tahun ini dapat menyambut secara bersemuka selepas dua tahun meraikannya secara maya sahaja.

“Pelbagai inisiatif telah dijalankan oleh pentadbiran sekolah bagi mewarnai keceriaan pada tahun ini. Walaupun pelajar kami mempunyai kekurangan dari segi penglihatan, saya sangat gembira dan bersyukur kerana mereka sangat menghargai kami para guru,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Bercerita mengenai pengalamannya bergelar guru pendidikan khas, baginya mengajar pelajar kurang upaya pastinya berdepan dengan 1001 dugaan dan cabaran tersendiri tetapi beliau bersyukur serta gembira kerana dapat merealisasikan cita-cita yang diidamkan.

“Cabaran mengajar pelajar kurang upaya tidak seperti mengajar pelajar normal kerana mereka pelajar istimewa. Ada yang lambat, sukar memahami apa disampaikan dan perlu diajar berulang kali. Sungguhpun begitu, saya seronok.

“Jika diberi peluang dan melalui saluran yang betul, mereka boleh melakukan sama seperti pelajar aliran perdana malah tidak mustahil lebih baik. Mereka juga ada kecenderungan, potensi dan bakat tertentu yang boleh digilap,” tambahnya.

Antara cabaran besar lain yang dihadapinya adalah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia perlu melaksanakan pembelajaran secara atas talian menggunakan Google Meet dan memberi latihan melalui aplikasi WhatsApp Group bersama penjaga.

“Ada ibu bapa dan penjaga positif membantu pelajar untuk membuat kerja sekolah namun ada juga senyap, diam seribu bahasa. Boleh kata maklum balas diterima 50-50. Selain kekangan kemudahan telefon, kebanyakan pelajar juga agak sukar untuk mengikuti kaedah pembelajaran dari rumah.

“Sungguhpun begitu, perjuangan mendidik tetap diteruskan. Sebagai guru, kami umpama wira di mata pelajar. Tumbang kami, tumbanglah anak-anak di SMKPKS. Insya-Allah saya akan terus menyumbang bakti dan tenaga untuk mendidik mereka, selain berharap ibu bapa akan terus memberi kerjasama dan menyokong usaha kami,” katanya dalam nada sebak.

KORBAN APA SAHAJA

BERCERITA tentang penglibatan dalam bidang pendidikan, pada awalnya bekas pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini memulakan langkah sebagai pelajar berjurusan Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) namun mengambil keputusan untuk menukar ke jurusan Pendidikan Khas ketika berada di semester dua.

Alhamdulillah, saya berjaya menghabiskan pengajian pada tahun 2008 atas dorongan dan sokongan daripada ibu, Saniah Dahalan, 67, dan bapa, Che Hamid Salleh, 76. Doa ibu bapa yang ingin melihat saya bergelar guru membuka jalan mudah kepada permulaan kerjaya dalam bidang pendidikan ini.

“Sehingga hari ini tidak pernah terlintas sedikit pun perasaan jemu malah saya semakin seronok dikelilingi para pelajar,” katanya yang sudah menabur bakti di SMKPKS hampir 15 tahun.

HASIL kraf tangan manik oleh pelajarnya akan dipromosikan melalui laman Facebook SMKPK Setapak – Kelas KUP.

Mengulas tentang tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Tunjang Sekolah Sejahtera’, Saiful berkata guru merupakan tunjang terpenting dalam sistem pendidikan negara yang berperanan sebagai penyampai ilmu selain melahirkan pelajar bersahsiah serta berdaya saing melalui penjiwaan amalan baik.

“Bagaimanapun, konsep cinta dan berguru dengan ilmu perlu diterapkan juga dalam diri setiap pelajar supaya mereka sentiasa mencari ilmu tanpa perlu disuruh bukan hanya bertujuan untuk lulus peperiksaan. Mereka harus meneroka ilmu baharu yang pada akhirnya nanti akan melahirkan generasi mampu mengeluarkan idea dan mencipta produk serta perkhidmatan baharu.

“Setiap tahun, semakin ramai pelajar istimewa dan kurang upaya menunjukkan prestasi luar biasa dalam bidang akademik, di samping tidak kurang juga menonjol dalam aktiviti kokurikulum. Ini bukti kejayaan sistem pendidikan khas negara dalam usaha mengasah potensi murid yang memerlukan perhatian dan bimbingan khusus terutama pada peringkat awal persekolahan. Katanya lagi, masing-masing mempunyai peranan dari segi keupayaan, kepakaran, kreativiti dan inovasi tersendiri dalam membantu memajukan komuniti.

“Ia umpama membina sebuah bangunan yang mana setiap individu itu mewakili batu bata. Jika salah satu batu digunakan tidak berfungsi, maka struktur binaan tidak sempurna dan kukuh.

“Atas faktor tersebut, kita perlu menghakis persepsi negatif. Sebaliknya, menyemai nilai positif terhadap setiap ahli masyarakat termasuk golongan OKU. Lagipun, harus disedari berkat sokongan dan kerjasama antara satu sama lain, kita akan melahirkan kelompok masyarakat yang maju dan membangun,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas