Artikel

Kisah gelandangan di bulan Ramadan

BAGI gelandangan, walaupun perasaan terdera kerana terkenang keluarga dan kampung halaman, tetapi terubat kerana berpeluang menjadi manusia yang sama seperti lainnya di masjid dan surau.
- Diterbit 14 April 2022 5:32 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

CATATAN kali ini berdasarkan pengalaman saya menyambut Ramadan pada akhir tahun 1980-an di Kuala Lumpur. Catatan mengenai golongan gelandangan terutama yang Islam menghadapi Ramadan dalam keadaan mereka yang sebatang kara di ibu kota.

Setiap kali bulan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri adalah saat yang penuh gembira. Warga kota keluar membeli-belah terutama menjelang petang hingga selepas berbuka puasa. Antara lokasi paling popular ialah Jalan Tuanku Abdul Rahman kerana ada Globe Silk Store dan deretan kedai pakaian lainnya.

Seingat saya pada akhir dekad 1980-an tidak banyak pusat membeli-belah yang besar. Hanya beberapa cawangan Hankyu Jaya antaranya berhampiran Chow Kit menjadi tumpuan ramai. Sogo sudah ada tetapi ketika itu dianggap elit oleh sesetengah warga kota. Golongan biasa tidak banyak membeli-belah di Sogo.

Di Kuala Lumpur, selain mereka yang menetap dan bekerja, ada sebahagian yang lain iaitu gelandangan. Semuanya berkelana ke Kuala Lumpur dengan menumpang kaki lima dan bawah jambatan sebagai ‘kediaman.’ Sebahagian kecil ada pekerjaan tetapi tidak mampu menyewa waima bilik. Pilihannya ialah kaki lima.

Sebahagian yang lain hanya bekerja mengambil upah di pasar atau menjaga tempat letak kereta haram. Ada juga menjadi penagih dadah dan tidak bekerja malah menjadi mayat hidup menunggu kematian. Semua mereka ini adalah warga Kuala Lumpur.

Ciri-ciri utama mereka adalah tidak mempunyai kediaman. ‘Rumah’ mereka di kaki lima atau bawah jambatan – terutama yang merentas Sungai Kelang. Ketika iu tidak banyak jejantas di Kuala Lumpur untuk dijadikan kediaman. Dalam keadaan yang sedemikian tentulah Ramadan dilalui dengan perasaan yang berbeza. Ketika orang lain membanjiri bazar Ramadan untuk membeli juadah, mereka tidak ada pengalaman manis itu. Malah melihat dari jauh dengan renung pahit kerana tidak mampu.

Mereka ini dianggap kelompok marginal – kerap terpinggir daripada perhatian sosial. Apa lagi disekutukan dengan perkara-perkara tidak elok – menyeluk saku, ragut dan penagih dadah. Bagaimanapun terdapat juga yang berpekerti baik tetapi terjebak dengan gelandangan kerana desakan hidup.

Sebagai wartawan, walaupun saya tidak menulis mengenai kehidupan warga gelandangan, tetapi sentiasa menyusuri kehidupan dan perasaan mereka. Kelompok marginal ini tidak wajar terus diabaikan kehadirannya dalam lingkungan sosial Kuala Lumpur.

Mahu atau tidak, keberadaan mereka nyata dan terbukti. Bercakap mengenai bangunan pencakar awan tidak akan memadamkan hakikat keberadaan golongan gelandangan di Kuala Lumpur. Untuk melihatnya susurilah kaki lima dan bawah jambatan – mereka ada di situ. Sebelah siang masing-masing dengan urusan sendiri mencari sedikit biaya untuk makanan.

Untuk itu ketika bulan Ramadan akhir 1980-an, saya tergerak menyusuri kehidupan gelandangan dengan berbual secara santai dengan mereka. Perbualan sekitar perasaan ketika Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Perbualan ini sangat santai dan saya tidak mencatatkan apa-apa di buku nota. Malah tidak tahu pun saya seorang wartawan. Disebabkan saya tidak memasuki sekolah kewartawanan, inilah inisiatif mempertajamkan dan melengkapkan portfolio kewartawanan pada isu sosial.

Banyak gelandangan yang saya temui menyatakan terdera pada setiap Ramadan oleh rasa terpinggir dan terasing. Mereka sentiasa rasa terasing tetapi pada bulan Ramadan perasaan itu sangat menyeksakan. Rasa terasing itu tercetus apabila melihat orang lain berada dalam suasana berbeza – kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri.

Sedangkan kehidupan gelandangan sama sahaja. Tidak ada hari atau bulan istimewa. Mereka bekerja untuk sebungkus nasi dan esok adalah hari baharu yang belum tahu takdirnya. Sama ada Ramadan atau Aidilfitri, kedua-duanya sama sahaja. Mereka tidak pernah fikir tentang baju raya atau juadah berbuka.

Daripada gelandangan yang saya temui ketika itu, hampir semua mempunyai keluarga di kampung. Tetapi kerana hal-hal tertentu mereka membawa dan menjauhkan daripada keluarga. Banyak yang terputus terus – tidak berhubung atau sekali sekala balik ke kampung.

Ada yang tergenang air mata tatkala menceritakan perjalanan hidup dan ingatan yang terdera kepada kedua-dua ayah dan ibu. Mempunyai perasaan seperti orang lain walaupun berada dalam lingkungan yang kelihatan terasing. Hal ini sangat memagut perasaan saya untuk berdiri di tempat mereka.

Saya cuba memahami takdir mereka yang secara zahirnya tidak sebaik saya. Bagaimanapun manusia ada takdirnya sendiri, saya yang dilihat lebih baik mungkin sebenarnya kurang berbanding mereka. Kisah-kisah terluka mereka sangat memantulkan kesedaran kepada saya.

Sebagai wartawan kisah-kisah yang dikutip terus daripada gelandangan itu bukan sahaja menarik malah sangat berharga. Inisiatif saya mendekati, berbual dan mencungkil kisah hidup itu untuk mempertajamkan rasa keinsanan yang barangkali tumpul dalam zon yang selesa.

Bagaimanapun daripada percakapan dengan gelandangan berkenaan, mereka memuji sikap institusi masjid dan surau di Kuala Lumpur yang memberi peluang berbuka puasa. Tidak ada diskriminasi walaupun gelandangan adalah status paling bawah dalam hierarki sosial kita.

Mereka tanpa bersembunyi melahirkan rasa amat terharu apabila dilayan sebagai seorang manusia – makan juadah yang sama dengan orang lain.

Status gelandangan tidak pernah menjadi sempadan ketika berbuka puasa secara percuma di masjid. Daripada yang mereka luahkan, saya boleh membuat kesimpulan itulah indahnya Islam.

Gelandangan beragama Islam turut ceria dan gembira sepanjang bulan Ramadan sama seperti warga Kuala Lumpur lainnya yang menikmati juadah lazat serta beraneka jenis. Walaupun mereka tidak menyelit atau menyibuk di bazar Ramadan tetapi berpeluang menikmati juadah yang lebih lazat berbanding hari biasa.

Kalau hari-hari biasa mereka kerap berlapar sepanjang malam kecuali ada yang memberikan makanan, tetapi sepanjang Ramadan mereka diberi rezeki yang banyak – menikmati makanan seperti orang lain. Bukan sekadar bubur lambuk malah nasi beriani juga boleh dimakan hampir setiap malam.

Semua masjid dan hampir semua surau utama di Kuala Lumpur menyediakan juadah berbuka puasa. Bukan sekali tetapi selama sebulan. Apa lagi di masjid-masjid utama seperti Masjid Negara dan Masjid Saidina Abu Bakar di Bangsar yang terletak di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Ini tidak termasuk beberapa masjid dan surau kawasan elit di Damansara yang menyediakan juadah berbuka puasa yang istimewa – selalunya nasi tomato, beriani atau nasi arab. Bagi saya pun juadah ini sudah cukup mewah kerana tidak selalu dapat menikmatinya. Gaji kecil, kalau hendak makan nasi beriani kena berfikir banyak kali.

Bagi gelandangan, walaupun perasaan terdera kerana terkenang keluarga dan kampung halaman, tetapi terubat kerana berpeluang menjadi manusia yang sama seperti lainnya di masjid dan surau.

Moga-moga kejernihan cahaya Islam yang dipancarkan itu sampai ke dasar jiwa. Walaupun takdir manusia itu tidak sama tetapi masih boleh berusaha untuk esok yang lebih baik. Semoga mereka yang ada dalam lingkungan gelandangan akan berubah dan tidak menghabiskan usia dengan sia-sia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas