Berita

“Kisah dulu usah diungkit” – Farawahida kini isteri pegawai kerajaan

- Diterbit 20 Mac 2021 10:13 AM MYT

PENYANYI lagu Tanpamu, Farawahida sah menjadi isteri kepada pegawai kerajaan di Masjid Daerah Taiping, Petak iaitu Zulkifli Alias, semalam.

Mereka telah selamat dinikahkan oleh Imam & Penolong Pendaftar Nikah Daerah Taiping, Mohd Ghazali bin Azidin dengan hanya sekali lafaz di Masjid Daerah Taiping Perak.

Dalam majlis nikah tersebut, Farawahida menerima mas kahwin berbentuk senaskah Al Quran.

Sebelum ini Farawahida pernah berumah tangga dengan Abdul Shukor Mohd Zain sejak 16 Disember 2013 dan berpisah setahun yang lalu.

“Saya anggap kisah perkahwinan dulu itu sudah tak perlu diungkit lagi. Tak ada jodoh antara saya dan bekas suami.
“Kami berpisah cara baik sejak setahun lalu,” katanya yang terlebih dahulu bertunang dengan Zulkifli sehari sebelum bernikah di rumah Inap, D’Studio Homestay Changkat Jering.
Pada majlis pertunangan itu Farawahida menerima dua bentuk cincin tanda bagi merisik dan bertunang selain lima dulang hantaran berbalas tujuh

Selepas majlis nikah di masjid sebelah siangnya, pasangan ini diraikan dalam sebuah majlis resepsi pada malamnya.
Farawahida atau nama sebenarnya, Farawahida Razali, dia turut mengabadikan peningkatan usia 36 tahun semalam sebagai hari pernikahannya.

Menyentuh tentang perkenalan mereka, Farawahida menjelaskan mereka sudah lama berkawan namun tidak menyedari Zulkifli menyimpan perasaan cinta dalam diam.

“Suami saya bergelar duda kepada tiga anak. Kami sebaya. Dia berasal dari Melaka.

“Dia satu kumpulan pasukan badminton yang saya sertai sejak dua tahun lalu di KL.

“Cuma awalnya, saya sendiri tak mengesyaki apa apa. Dia pun sekejap turut serta dan sebaliknya. Hubungan kami awalnya lebih kepada rakan beriadah.

“Selesai bermain badminton, bawa haluan masing masing. Dia pun tak banyak cakap. Saya pun sejak solo, malas nak fikir pengganti. Tak sangka rupanya dia menyimpan perasan terhadap saya dalam diam.

“Ikutkan saya pernah memuat naik gambarnya dan teman lain masa bermain badminton di Instagram. Cuma ia berlalu begitu saja tanpa mencetuskan apa apa mahupun dihidu sesiapa. Hujung tahun lalu, kami bagaimanapun mula rapat,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas