Berita

Khalid Samad adakan pertemuan dengan Ismail Haniyeh

KHALID (dua kiri), menerima plag cenderahati dari Ismail (dua kanan) pada pertemuan khas di Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) Kuala Lumpur.
- Diterbit 25 Januari 2020 3:17 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh menyifatkan Malaysia seperti negaranya sendiri apabila menerima layanan yang baik daripada pemimpin dan rakyat negara ini.

Beliau berkata, meskipun terpaksa mealui perjalanan ribuan kilometer dari bumi Gaza, Palestin dengan penuh kesukaran untuk sampai ke sini, penerimaan rakyat Malaysia amat dihargai.

“Walaupun saya baru kali pertama datang ke Malaysia, saya tidak rasa sebagai orang asing di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad yang melakukan kunjungan hormat ke atas pemimpin Hamas itu malam tadi.

Ismail Haniyeh dalam rangka kunjungannya ke Malaysia sejak Selasa lalu.

Sebelum ini, beliau turut melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Putrajaya, Rabu lalu.

Khalid dan Ismail Haniyeh mengadakan pertemuan selama kira-kira 30 minit dalam suasana penuh mesra.

Ini merupakan pertemuan kedua Khalid dengan Ismail Haniyeh. Pada tahun 2012, Khalid menjadi tetamu Ismail Haniyeh di Gaza ketika beliau bersama sekumpulan anggota pertubuhan bukan kerajaan (NGO) memasuki wilayah bergolak itu bagi menyampaikan bantuan daripada rakyat Malaysia.

Dalam pertemuan yang diadakan di Pejabat Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM) di sini, Khalid dan Ismail Haniyeh bersepakat bahawa umat Islam perlu bersatu tanpa mengira latar belakang politik dalam usaha membantu rakyat Palestin.

Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, semua pihak perlu membawa mesej perpaduan yang menunjukkan Islam adalah agama yang bersifat rahmatan lil alamin (rahmat sekelian alam).

“Walaupun ada ijtihad yang berbeza, umat Islam tidak sewajarnya menggunakan kaedah takfiri.

“Penggunaan istilah kafir harbi misalnya tidak sesuai dengan realiti di Malaysia, kita mahu perpaduan juga melibatkan seluruh rakyat berbilang kaum,” katanya.

Khalid turut menyatakan kesediaannya untuk memenuhi permintaan Ismail Haniyeh agar pihaknya dapat memberikan sokongan dan bantuan kepada Al-Aqsa Integrated School di sini yang dibangunkan sendiri warga Palestin bagi keperluan pelajar-pelajar dari wilayah bergolak itu yang tinggal di negara ini.

Selain itu, sekolah tersebut juga menempatkan kanak-kanak pelarian dari negara lain seperti Somalia.

“Saya harap dapat melawat sekolah tersebut nanti,” katanya.

Pada hujung pertemuan tersebut, Khalid dan Ismail saling bertukar cenderahati.

Khalid turut menyerahkan sumbangan pemberian khas untuk membantu rakyat Palestin. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas