Berita

Khalid gesa tingkatkan penguatkuasaan cegah denggi

KERATAN akhbar Wilayahku.
KERATAN akhbar Wilayahku.
- Diterbit 4 Julai 2019 7:21 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan menggesa supaya aspek penguatkuasaan di lokasi panas denggi diperkemas berikutan terdapat peningkatan kes dengan satu kematian direkodkan di bandar pintar itu.

Menterinya, Khalid Abd. Samad berkata, penguatkuasaan penting kerana peningkatan kes disebabkan perubahan cuaca pada masa ini.

“Kita kena tengok dari segi penguatkuasaan. Perlu ada pihak atau jabatan bertanggungjawab untuk ambil tindakan.

“Peningkatan ini mungkin sedikit sebanyak berkaitan dengan perubahan cuaca kerana sekarang musim kemarau jadi denggi mudah membiak,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Beliau mengulas peningkatan kes denggi di Putrajaya yang merekodkan 628 kes dengan satu kematian tahun ini.

Khalid memberitahu, wabak denggi merupakan satu masalah yang dihadapi di seluruh negara dan pelbagai usaha telah dilakukan bagi membasminya: beliau menyeru semua yang terlibat khususnya penduduk setempat supaya turut serta membasmi denggi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas