Berita

Khalid anjur seminar, basmi kemiskinan bandar

KHALID (kiri) bersama wakil Yayasan Salam, Datuk Ahmad Talib (tengah) dan Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun pada sidang akhbar khas Seminar Pembasmian Kemiskinan Bandar di sini hari ini.
- Diterbit 28 November 2019 9:59 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Satu seminar sehari bertajuk Pembasmian Kemiskinan Bandar akan diadakan di Dewan Serbaguna, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) di sini pada 5 Disember ini.

Seminar tersebut akan melibatkan 16 kertas kajian yang disediakan pelbagai pihak yang terlibat secara lansung dengan isu kemiskinan dan sosioekonomi masyarakat bandar selama ini.

Program itu merupakan anjuran bersama KWP, Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), Yayasan Salam dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Menterinya, Khalid Abd. Samad, seminar tersebut diadakan berikutan masalah kemiskinan bandar adalah isu lama yang sehingga kini tiada jalan penyelesaian selain berpunca daripada orang kampung yang berhijrah ke bandar bagi mendapatkan pekerjaan.

“Malangnya bukan semua yang berjaya memperoleh pekerjaan di bandar sekali gus menjadi satu kitaran hidup yang berulang untuk mereka.

“Ia boleh dilihat dalam pelbagai bentuk antaranya perumahan. Masalah utama yang ada adalah setinggan dan ia masih wujud akibat rumah panjang yang disediakan pengendali ladang getah dan setelah ditutup mereka jadi warga kota tanpa rumah serta mata pencarian,” katanya dalam sidang akhbar khas di sini hari ini.

Khalid memberitahu, melalui seminar berkenaan pihaknya mengumpulkan pakar-pakar akademik, ekonomi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan kebajikan demi mencari idea dan cadangan yang bernas, segar dan praktikal sekali gus mencapai matlamat untuk membasmi kemiskinan.

“Jutaan bantuan diberikan berdekad lama sejak kerajaan terdahulu sehingga sekarang tapi masalah ini masih wujud dalam skala besar.

“Seminar ini bertujuan mencari kalau ada kaedah terbaik dengan sesi ‘brainstorming’ bersama pakar-pakar kemiskinan dan individu yang boleh menyumbang idea kritis termasuk mengambil kira kaedah yang diguna pakai negara serantau di India dan Filipina.

“Kertas kajian akan dibentangkan NGO, aktivis masyarakat dan ahli akademik termasuk Profesor dari universiti awam supaya dapat mencari idea bagi basmi atau mengurangkan kemiskinan bandar,” ujarnya.

Ditanya sebarang data tepat berkaitan kemiskinan bandar, kata Khalid, mengikut statistik e-Kasih, seramai lebih 4,000 miskin bandar termasuk miskin tegar direkodkan di Wilayah Persekutuan.

Jelas beliau, selepas seminar itu, satu bengkel penyelidikan akan dianjurkan pula selama enam hingga lapan bulan sehingga pertengahan 2020 melibatkan pihak antarabangsa yang berpengalaman dalam mengendalikan isu kemiskinan sebelum menyediakan satu pelan tindakan menyeluruh untuk digunakan membasmi kemiskinan bandar di negara ini.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa tiada keperluan untuk merujuk pelan tindakan ke Kabinet kerana hasil pelaksanaan adalah bagi matlamat yang telah dipersetujui sebelum ini iaitu demi Kemakmuran Bersama.

“Miskin bandar juga bermanfaat dari kemakmuran bersama yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pada hari seminar juga akan diadakan mini pameran yang mempamerkan hasil inisiatif yang dilaksanakan NGO sehingga menjayakan warga miskin keluar dari kepompong miskin tegar,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas