Atlet Wilayah

Khairul Naim fokus Sukan SEA 2021

- Diterbit 11 Disember 2020 7:23 AM MYT

ATLET kayak Wilayah Persekutuan, Khairul Naim Zainal, 20, sedang giat mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan pemilihan Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Pemenang pingat emas 500 meter di Tanjung Pinang International Canoe 2019, Indonesia ini sedang giat mempersiapkan diri sebelum menghadapi kejohanan SUKMA 2022 dan pemilihan Sea Games 2021.

“Persediaan saya sama seperti yang lain iaitu latihan, saya perlu memastikan yang saya bersedia dari segi mental kerana penting bagi saya untuk kekal konsisten kerana mental yang sihat membolehkan saya untuk menikmati sesi latihan dengan lebih baik”, kata Khairul Naim.

Sukan yang memerlukan stamina yang mencukupi ini sudah pasti memerlukan latihan yang banyak untuk mengekalkan momentum prestasi dan staminanya lebih-lebih lagi ketika negara dilanda pandemik COVID-19 yang menyukarkan sesetengah atlet untuk membuat latihan.

“Sukan kayak ini memerlukan latihan yang konsisten, bukan sahaja untuk mengekalkan stamina tetapi juga untuk mengekalkan prestasi saya di dalam air”, katanya kepada Wilayahku.

Pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan rakyat untuk  merentas daerah dan negeri pada Sabtu lepas sudah pasti menyenangkan lagi usaha Khairul Naim untuk berlatih.

“Selepas pengumuman daripada MKN, saya berinisiatif untuk melakukan latihan di Titiwangsa, Kuala Lumpur kerana di situ merupakan kawasan latihan yang dibenarkan”, ujar atlet muda ini.

Khairul Naim mengakui bahawa staminanya pada awal pandemik agak kecundang tapi dia bangkit sedikit demi sedikit untuk memastikan prestasi dan staminanya sama seperti sebelum wabak tersebut melanda.

“Saya melakukan latihan seperti berjogging, rutin senaman saya dan lain-lain lagi untuk membantu menaikkan semula stamina saya dengan harapan saya akan lebih bersedia untuk menghadapi SUKMA yang akan datang ini,” katanya.

Khairul Naim ingin terus membawa sukan kayak Malaysia untuk kekal unggul di mata dunia
sebagai perancangan masa depannya. – AFIFAH AFIZAL

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas