Berita

Khadijah Ibrahim, Norlia Ghani bantu mangsa banjir… Puji usaha MAIWP, NIQ Ehsan

||||||||PENGERUSI  NIQ Ehsan
- Diterbit 30 Disember 2022 4:25 AM MYT

MEMAHAMI kesulitan mangsa banjir di Terengganu, artis popular Datuk Khadijah Ibrahim dan Norlia Ghani turun padang sama-sama membantu meringankan golongan yang terkesan.

Dalam program MAIWP INSANI: Misi Bantuan Banjir Negeri Terengganu dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan NIQ Ehsan Malaysia anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu, kehadiran dua selebriti terkenal ini cukup membuatkan mangsa banjir lebih teruja.

Khadijah Ibrahim yang sanggup meluangkan masa turun ke Kemaman, Terengganu, semalam menyifatkan misi bantuan ini bukan sahaja merupakan tanggungjawab sosial tetapi juga mahu merapatkan silaturrahim sesama masyarakat.

“Ini satu daripada cara saya menjalankan tanggungjawab sosial dan membalas sokongan masyarakat terhadap saya dan kerjaya saya selama ini.

“Dalam masa yang sama, ini juga salah satu cara untuk merapatkan silaturrahim sesama kita. Islam sendiri menggalakkan kita saling membantu dan meringankan beban mereka yang ditimpa musibah.

“Apabila ada program sebegini, kita dapat lihat banyak pihak berganding bahu, bekerjasama dalam menjayakan misi banjir ini. Saya puji usaha MAIWP, NIQ Ehsan dan pihak lain yang saya tahu mereka buat sehabis baik untuk memastikan bantuan banjir dapat disalurkan.

“Dalam masa yang sama, saya melihat golongan selebriti mempunyai pengaruh yang besar terhadap masyarakat.

“Dengan adanya penyertaan mereka turun padang sendiri membantu mangsa banjir ini, insya Allah secara tak langsung menarik minat pelbagai pihak untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri terbabit,” katanya yang turut menyerahkan sendiri sumbangan bantuan banjir kepada sebahagian mangsa banjir di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman.

NORLIA Ghani (paling kiri), Khadijah Ibrahim (dua dari kanan) bersama wakil MAIWP serta NIQ Ehsan menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Teladas, Air Putih, Kemaman.

Manakala Norlia Ghani yang turut bersama-sama Khadijah juga meluahkan rasa syukur apabila diberi peluang oleh MAIWP dan NIQ Ehsan untuk terlibat dalam misi bantuan mangsa banjir ini.

“Saya puji usaha MAIWP, NIQ Ehsan dan pertubuhan-pertubuhan lain kerana menjayakan misi ini.

“Sebagai artis, saya turut prihatin dengan nasib mangsa banjir yang dtimpan musibah. Walaupun di tempat saya tak kena banjir, tapi atas dasar sesama manusia, saya berbesar hati dapat sertai program sebegini.

“Saya puji MAIWP, walaupun fokus mereka sebenarnya lebih kepada penduduk Wilayah Persekutuan, namun mereka tetap membantu mangsa-mangsa banjir di Terengganu.

“Begitu juga dengan NIQ Ehsan. Saya tengok ramai anak muda yang menjadi sukarelawan membuat kerja amal ini. Ini tanda keprihatinan golongan muda terhadap apa yang berlaku kepada masyarakat,” ujarnya yang seronok melihat wajah gembira mangsa-mangsa banjir yang menerima bantuan.

Turut hadir dalam sesi penyerahan bantuan ini ialah Penolong Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat Pusat Pungutan Zakat, Nor Mukshar Harun, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP ,Mohd Fauzi Abidin, Timbalan Pengurus Bahagian Agihan Zakat MAIWP, Wan Maizatun dan Pengurus Bahagian Pembangunan Asnaf MAIWP,  Ahmad Saifuddin.

Manakala Pengerusi  NIQ Ehsan, Akhmarulizam Ahmad turut hadir bertemu mangsa-mangsa banjir.

MANGSA banjir di Air Putih, Kemaman teruja bertemu selebriti pujaan mereka.

Terdahulu, MAIWP mengumumkan telah memperuntukkan RM6 juta bagi membantu mangsa banjir khususnya di negeri Pantai Timur.

Sebanyak RM1 juta disalurkan masing-masing kepada Majlis Agama Islam Negeri di Kelantan, Terengganu dan Pahang.
Manakala RM2 juta lagi untuk misi bantuan banjir dan barangan sumbangan seperti jag air elektrik, sejadah, kain batik, kain pelikat serta alatan pembersihan.

Sementara itu, sebanyak RM1 juta disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan kit solat menerusi Skuad Musa’adah iaitu agensi di bawah Menteri Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

PENGERUSI  NIQ Ehsan, Akhmarulizam Ahmad (tengah) bersama Khadijah Ibrahim dan Norlia Ghani.

Seramai 108 pegawai MAIWP, anak syarikat MAIWP dan badan bukan kerajaan (NGO) turut terlibat dalam menyalurkan bantuan barangan kelengkapan berkenaan yang merangkumi 1,500 mangsa banjir di setiap negeri yang terlibat.

Selain NIQ Ehsan, rakan-rakan strategik lain yang terlibat adalah Pusat Pungutan Zakat Wilayah Persekutuan, MAIWP health Care, Kolej Profesional Baitumal Kuala Lumpur (KPBKL), University College MAIWP international, MAIWP Dagang dan Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas