Berita

Ketua Pengarah JAKIM meninggal dunia

- Diterbit 8 Oktober 2020 7:11 AM MYT

KETUA Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Paimuzi Yahya, 59, meninggal dunia akibat komplikasi jantung dan paru-paru di Hospital Sungai Buloh hari ini.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Kuang, Gombak.

Allahyarham dilahirkan di Terengganu pada tahun 1961 berkelulusan Ijazah Sarjana Muda pada tahun 1985 dan Ijazah Sarjana dalam bidang Syariah dari Universiti Malaya pada tahun 1995.

Beliau mula menyertai perkhidmatan awam pada tahun 1986 dengan memulakan tugas sebagai Penolong Pengarah Pusat Penyelidikan Islam Bahagian Hal Ehwal Islam, JPM.

Selain itu, beliau pernah menjadi Pengarah Darul Quran Jakim pada 2010 dan Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada 2013 dan Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada 2017 sebelum kembali ke JAKIM.

Allahyarham kemudian dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Operasi JAKIM sebelum menggantikan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim sebagai Ketua Pengarah JAKIM pada 13 Januari 2020. – OLEH: AZLAN ZAMBRY – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas