Berita

Kesihatan mental : KWP gerakkan usaha kenal pasti golongan terjejas

- Diterbit 29 Jun 2021 8:27 AM MYT

SUSULAN peningkatan kes tekanan perasaan yang dihadapi sehingga terdorong untuk membunuh diri, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menggerakkan usaha untuk mengenal pasti golongan ini lebih awal.

Menterinya, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, pihaknya memandang serius masalah kesihatan mental yang berlaku dalam masyarakat terutamanya di Wilayah Persekutuan pada masa kini.

“Atas kesedaran ini KWP berhasrat untuk mengenal pasti lebih awal golongan yang memerlukan bantuan dan sokongan emosi.

“KWP juga ingin menggerakkan pelbagai inisiatif dan tindakan segera melalui kerjasama semua pihak terutamanya pemimpin-pemimpin masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Annuar, pihaknya menyedari bahawa isu tersebut adalah serius dan memerlukan tindakan segera serta memahami
bahawa masyarakat setempat merupakan pihak yang paling hampir dengan golongan
yang mempunyai gejala tekanan kesihatan mental ini,

“Satu perbincangan secara maya akan diadakan dengan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) peringkat Zon dan Sub-Zon esok, Rabu 30 Jun 2021, pukul 2.00 petang.

“Is bagi menggerakkan tindakan segera untuk membantu mereka yang berisiko ini,” katanya.

Jelasnya, isu kesihatan mental dalam kalangan anggota masyarakat, terutamanya dalam bandar mesti ditangani segera dan secara bersama oleh kerajaan, pihak yang berkepakaran dalam bidang kesihatan mental dan melalui bantuan daripada anggota masyarakat.

Annuar juga menyeru kepada semua pihak untuk meningkatkan kesiap-siagaan secara proaktif bagi membantu rakyat yang tertekan dengan menghulurkan bantuan sewajarnya.

“KWP akan menambah lagi saluran dan program yang boleh membantu golongan berkenaan dan pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.

Dalam pada itu, Annuar turut berharap agar dapat menjalinkan kerjasama dengan semua ahli parlimen Wilayah Persekutuan bagi menagani masalah yang berkaitan dengan keperluan rakyat pada masa ini selaras dengan peruntukan yang telah diluluskan kepada mereka.

“Dengan adanya peruntukan RM300,000.00 yang telah diluluskan kepada semua wakil rakyat di Wilayah Persekutuan, saya berharap dapat bekerjasama agar segala bantuan dapat diselaraskan dengan lebih baik lagi,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas