Berita

Kesihatan mental kanak-kanak perlu dijaga

- Diterbit 2 November 2020 3:12 AM MYT

BARU-BARU ini, tular di sosial media, dalam dan luar negara, khususnya kalangan penggemar siri 16 episod di Netflix, drama bersiri Korea Selatan (KDrama) bertajuk “It’s Okay Not to Be Okay” lakonan pelakon kegilaan ramai, Kim Soo Hyun dan Seo Ye-Ji.

Tular bukan kerana tarikan rupa paras gandingan utamanya, tetapi lebih kepada jalan cerita yang mengupas secara kreatif serta mendalam tentang di sebalik kepincangan kisah zaman kanak-kanak setiap watak. Itu yang cukup menarik perhatian penulis.

Mengisahkan kehidupan dua beradik yatim piatu (si abang berperwatakan anak autisme) bersama seorang penulis buku cerita kanak-kanak terkenal, drama ini sebenarnya berkait rapat dengan permasalahan zaman kanak-kanak yang berantakan. Keadaan itu kemudiannya menyebabkan setiap watak utama ‘menderita’ apabila meningkat dewasa.

Secara literalnya, ‘derita’ yang dialami merujuk kepada plot utama drama yang mengetengahkan isu kesihatan mental yang meruncing hari ini — bukan sahaja dalam kalangan orang dewasa, tetapi juga kanak-kanak.

Semestinya juga ia suatu perkara yang tidak boleh sama sekali dipandang ringan. Apatah lagi, kalau punca dan faktor utama kebarangkalian adalah berpunca daripada pengalaman zaman kanak-kanak yang rapuh dan tidak didokong oleh cerita positif seperti penderaan, penceraian atau kematian ibu bapa.

KESIHATAN MENTAL ‘PANDEMIK’ DUNIA

Melihat penularan genre KDrama ini di laman-laman media sosial, penulis membuat hipotesis bahawa hanya menerusi platform komersial begini, barulah anggota masyarakat sedar betapa kesihatan mental wajar diberikan perhatian dan rawatan.

Sudah tiba waktunya juga untuk isu ini ditangani secara holistik, dengan melibatkan penyertaan semua lapisan masyarakat dan profesionalisme.

Pengamal Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Dr Putri Afzan Maria Zulkifli memberitahu Bernama, trauma atau gelisah, sememangnya boleh berlaku ke atas kanak-kanak, sekaligus memberikan kesan jangka panjang sekiranya tidak dipulihkan segera.

“Kesihatan mental kanak-kanak di Malaysia hari ini, menurut saya, sangat membimbangkan.

“Melihatkan gaya hidup masyarakat yang antaranya, kurang memberi perhatian terhadap emosi anak-anak serta pendedahan berlebihan terhadap gajet tanpa kawalan, sudah tentu ini semua berpotensi besar menjadikan kesihatan mental mereka menjadi lebih serius dan memerlukan tindakan segera semua pihak, khususnya ibu bapa,” katanya.

Merujuk kepada data Cencus of Population, Play Therapy UK yang menunjukkan sejumlah 982,253 kanak-kanak di Malaysia memerlukan terapi, direkodkan pada 2011, Putri Afzan Maria menjelaskan proses tumbesaran anak-anak terutamanya ketika enam tahun pertama, mereka sangat memerlukan komunikasi dan perhubungan yang positif dan rapat bersama ibu bapa.

Menurut beliau, angka tersebut meningkat kepada 1.6 juta orang pada tahun 2015.

“Di peringkat ini, emosi, itu patut diberikan perhatian dahulu, dan bukannya pencapaian akademik atau siapa lebih dahulu pandai membaca, menulis dan mengira. Trend ini, tanpa sedar, sebenarnya menjadi antara punca utama.

“Perlu diingat, definisi kesihatan mental itu luas. Bukan hanya tertumpu kepada terma gila sahaja, tetapi masalah seperti Post-traumatic stress disorder (PTSD), kemurungan (depression/mood disorders) dan Attention-deficit/hyperactivity disorder (ADHD) juga adalah tergolong dalam kumpulan tersebut.

“Dan bayangkan anak-anak hari ini, seawal usia dua tahun juga perlu berdepan masalah kesihatan mental yang tidak sihat ini. Justeru, bila langkah pencegahan harus bermula? Adakah kita memandang serius perkara ini, hari ini?” katanya, yang juga Pengasas rangkaian Tadika KinderKaizen dan Sekolah Sri Aria.

KAJIAN KONSTRUKTIF

Bersependapat dengan Putri Afzan Maria, Wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Dr Rashed Mustafa Sarwar berkata, isu yang dibangkitkan sememangnya mencemaskan dan perlu diberi perhatian bukan sahaja untuk kanak-kanak tetapi juga orang dewasa secara global.

Menurut beliau, melihat kepada berleluasanya isu tersebut, ia bukan lagi pandemik yang tersembunyi, justeru, usaha serta langkah membina perlu dilaksanakan sekarang.

“Berhubung dengan isu kesihatan mental, kami (UNICEF Malaysia) masih belum mempunyai pengetahuan mendalam mengenainya lagi.

“Itulah sebabnya mengapa kami memulakan kajian berasaskan bukti dan saintifik mengenai kesihatan mental serta kesejahteraan psikologi kanak-kanak dan golongan remaja di Malaysia. Kajian ini kami mulakan awal tahun ini dan berharap dapat menyiapkannya, sekiranya mungkin, tahun hadapan, ” kata yang memulakan perkhidmatannya sejak Julai tahun ini.

Menurut Dr Rashed, kajian tersebut yang merupakan yang pertama di Malaysia adalah usaha gandingan dengan kerajaan Malaysia, pertubuhan swasta, ahli akademik serta institusi penyelidikan di samping negara lain di rantau Asia Tenggara termasuk Vietnam, yang menjalankan kajian yang sama, baru-baru ini.

“Sudah tentunya juga usaha ini turut melibatkan pejabat Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sini. Isu ini isu baru dan semua negara perlu tahu aspek yang lebih informatif, tingkah laku serta komunikatif dan WHO sudah tentunya bekerjasama dengan kami, ” tambahnya.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 (NHMS 2019), 2.3 peratus orang dewasa mengalami kemurungan, sementara 7.9 peratus kanak-kanak berusia 5 hingga 15 tahun didapati mengalami masalah kesihatan mental.

HAK KANAK-KANAK & PELABURAN

Dr Rased menambah, memandangkan kesihatan adalah hak kanak-kanak, isu kesihatan mental sudah tentunya menjadi menjadi pendorong utama untuk semua pihak di seluruh dunia menggerakkan usaha untuk menyokong kesihatan mental.

“Kesihatan mental kanak-kanak adalah kombinasi pelbagai hak asasi kanak-kanak yang mengukuhkan lagi (kesihatan mental), dalam perspektif yang betul.

“Sekiranya kita lihat punca kesihatan mental, setiap satu daripadanya datang daripada pelbagai hak, secagai contoh; hak bermain, hak mendapatkan pendidikan yang betul, serta hak dilindungi daripada penderaan, keganasan dan pengabaian. Lantas, tanpa diragui lagi, kesihatan mental mempunyai komposisi banyak hak yang memperkukuhkan lagi isu ini, ” katanya.

Mengulas tema Hari Kesihatan Sedunia tahun ini “Greater Investment, Greater Access”, Rashed berkata, beliau amat bersetuju memori zaman kanak-kanak yang hebat adalah “pelaburan” untuk keadaan kesihatan mental dan fizikal kanak-kanak yang lebih baik dalam perjalanan hidup mereka ke arah keremajaan.

Sehubungan dengan itu, beliau berpendapat, semua rakyat Malaysia seharusnya menyayangi kanak-kanak dan menjauhkan daripada mereka, budaya yang berbahaya, terutamanya tidak mendedahkan mereka kepada stigma isu kesihatan mental.

“Rakyat Malaysia bernasib baik hidup dalam masyarakat yang mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh. Untuk membantu kanak-kanak yang terkesan, tolonglah kukuhkan nilai kekeluargaan dan beri lebih perhatian kepada keperluan kanak-kanak iaitu kasih sayang dan penjagaan, ” katanya.

KESAN COVID-19

Sementara itu, wakil WHO ke Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura, Dr Lo Ying-Ru berkata, isu kesihatan mental tahun ini dibincangkan khususnya, ketika kehidupan harian kita banyak berubah akibat kesan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, apabila semakin ramai kanak-kanak yang terkesan, keadaan semakin mendesak untuk lebih banyak pelaburan dibuat bagi program kesihatan mental, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa, yang mengalami kekurangan pembiayaan yang teruk.

Dengan merujuk kepada laporan NHMS 2019, yang mendedahkan bahawa hampir setengah juta orang di Malaysia mengalami simptom kemurungan, Dr Lo menambah, pandemik COVID-19 mendedahkan jurang yang luas dalam mendapatkan, bukan sahaja khidmat penjagaan kesihatan tetapi juga secara tidak langsung, keperluan yang besar.

“Baru-baru ini kami membuat tinjauan dalam suasana pandemik COVID-19 mengenai impak ke atas perkhidmatan kesihatan yang lain. Berkait dengan khidmat kesihatan mental yang kritikal, laporan itu menyebut 93 peratus di seluruh dunia menghentikan perkhidmatan tersebut, sedangkan keperluannya semakin meningkat.

“Ini sebabnya mengapa WHO & UNICEF berganding bahu untuk menyokong negara di seluruh dunia, agar memperkukuhkan kesihatan mental serta menangani sokongan sosial-psikologikal, serta perkhidmatan kesihatan asas yang lain, ” katanya.

Menurut Dr Lo, kerjasama dengan pihak Malaysia boleh diperkuatkan lagi terutamanya mengenai program pencegahan serta promosi kesihatan mental.

“Malaysia sememangnya aktif dalam bidang ini sejak tahun-tahun kebekalangan ini. Banyak berita baik tetapi masih banyak juga yang perlu dibuat.

“Sekiranya ada fokus terhadap kegiatan berasaskan komuniti, ini boleh membantu memperluaskan talian hayat kesihatan mental. Usaha memusatkan kakitangan yang terlatih yang mempunyai ijazah asas psikoligi untuk melatih kakitangan yang lain, amat dialu-alukan. Malaysia juga boleh memperluaskan lagi program yang sedia, ” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas