Utama

Kesemua taman awam DBKL dibuka hari ini

PENGUNJUNG diingatkan untuk sentiasa mematuhi dan mengamalkan SOP yang telah ditetapkan susulan pembukaan semula 12 taman awam di bawah seliaan DBKL.
- Diterbit 19 Oktober 2020 2:59 AM MYT

KESEMUA taman awam di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dibuka semula bermula hari ini.

DBKL dalam satu kenyataan memaklumkan, pengunjung dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan susulan pada masa ini Kuala Lumpur berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Taman awam terlibat adalah Taman Botani Perdana, Taman Awam Bukit Kiara, Taman Tasik Titiwangsa, Taman Tasik Manjalara, Taman Metropolitan Kepong, Taman Metropolitan Batu dan Taman Rekreasi Pudu Ulu.

Turut dibuka adalah Taman Tasik Datuk Keramat, Taman Tasik Permaisuri, Taman Bukit Jalil, Taman Tasik Ampang Hilir dan Taman Alam Damai.

Selain itu, Taman Dusun Bandar, Taman Tasik Danau Kota, Taman Tasik Sri Rampai, Taman Kejiranan Ayer Panas dan Taman Rimba Bukit Kerinchi juga dibuka untuk kunjungan.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter rasminya menyatakan keputusan itu dibuat selepas perbincangan dilakukan dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“SOP PKPB membenarkan aktiviti bersukan tertentu. Padang Golf dibuka. Gym dibuka. Tapi public park (taman awam) ditutup,” ciapnya sambil menambah taman awam dibuka dengan syarat ada kawalan pematuhan SOP.

Annuar juga menyatakan, ia bertujuan memberi peluang kepada masyarakat kota untuk melakukan aktiviti riadah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas