Sekilas

Kesedaran ummah meningkat, 359,661 bayar zakat tahun 2020

SYED ALI AL-HABSHE
- Diterbit 23 Disember 2020 3:31 AM MYT

KESEDARAN masyarakat umum berkenaan kewajipan berzakat semakin meningkat hasil penganjuran kempen secara agresif oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) meliputi segenap lapisan rakyat.

Faktor tersebut kata Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Al-Habshee, secara langsung merangsang pertambahan drastik bilangan pembayar zakat tahun ini, walaupun dalam senario ekonomi yang kurang kondusif akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, penetapan kadar zakat iaitu hanya 2.5 peratus daripada pendapatan layak dizakatkan, mendorong
ramai individu serta syarikat korporat tampil menunaikan kewajipan tersebut dengan objektifnya bersama  membantu mereka yang memerlukan, terutama lapan golongan asnaf.

Katanya, gerak kerja agresif kakitangan dan pegawai PPZ-MAIWP hampir setiap hari turun padang bertemu pembayar, selain penyediaan pelbagai medium bayaran zakat yang efisyen dan mudah, menjadi pelengkap bagi pencapaian positif yang dicatatkan agensi itu pada tahun ini.

“Berdasarkan statistik prestasi kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi Januari sehingga November 2020, menunjukkan seramai 359,661 pembayar zakat telah direkodkan berbanding 189,211 orang bagi tempoh sama tahun sebelumnya iaitu peningkatan sebanyak 90 peratus pembayar zakat.

“Ini secara langsung menunjukkan kesedaran orang ramai berhubung kewajipan berzakat yang dituntut dalam Islam itu telah meningkat dan ini petanda positif bahawa kempen serta promosi yang dilaksanakan mencapai
objektif,” katanya dalam temubual khas bersama media di Ibu Pejabat PPZ-MAIWP, Taman Shamelin Perkasa,
Cheras.

Dalam pada itu, kewajipan menunaikan zakat juga mempunyai hikmahnya tersendiri sebagai satu cara menyucikan harta selain menunjukkan tanda syukur dan kelebihannya bukan sahaja keberkatan harta dimiliki malah pemiliknya juga.

Perkaitan zakat dengan peranannya sebagai medium membangunkan ekonomi umat Islam menunjukkan pentingnya Rukun Islam ketiga itu dalam merapatkan jurang golongan kaya dengan asnaf dan matlamat utamanya
ialah mengeluarkan golongan asnaf daripada kepompong kemiskinan.

Peranan dan amanah tersebut kata Syed Ali, perlu digalas sebaik mungkin bagi memastikan golongan berhak dibantu tidak tercicir seterusnya dapat melaksanakan tanggungjawab diamanahkan itu dengan adil serta saksama.

Atas kapasiti inilah katanya,  PPZ-MAIWP sentiasa aktif serta telus dalam membuat kutipan di samping berusaha
menambahbaik perkhidmatan dengan mempelbagaikan saluran pembayaran sama ada secara online mahupun
kaunter zakat bergerak untuk kemudahan pembayar zakat.

“Hasilnya, jumlah kutipan zakat terkumpul setakat 15 Disember ini adalah sebanyak RM611 juta dan kami PPZ-MAIWP yakin mampu mengutip sehingga RM700 juta menjelang akhir tahun ini berbanding sasaran awal iaitu
RM690 juta, “ jelasnya.

Sementara itu, Syed Ali turut menegaskan, tidak timbul isu penyelewengan wang kutipan zakat kerana PPZ- MAIWP merupakan agensi mengutip zakat sahaja manakala proses agihannya kepada asnaf dan golongan memerlukan dibuat sepenuhnya oleh Baitulmal-MAIWP.

Jadi dakwaan tersebut, katanya, hanya bersifat tuduhan tanpa asas oleh pihak tertentu yang mungkin tidak jelas atau tidak mengetahui peranan serta fungsi sebenar kedua-dua agensi di bawah MAIWP itu secara khusus.

“Lebih signifikan, amaun zakat dikutip akan disalurkan terus kepada MAIWP setiap hari dan PPZ-MAIWP tidak pun menyimpan wang tersebut di sini, hanya sebagai transit pengumpulan sebelum semuanya diserah kepada
agensi.

“Selain itu, simpan kira dan data kutipan juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara, dan sehingga hari ini, tidak pernah timbul apa juga isu penyelewengan wang zakat,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas