Berita

Kesedaran rakyat berkenaan isu-isu kependudukan ditingkatkan

- Diterbit 11 Julai 2020 5:14 AM MYT

BERSEMPENA Sambutan Hari Penduduk 2020, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan kerjasama United Nations Population Fund (UNFPA) menyeru agar semua pihak bersama meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu dan cabaran dihadapi kependudukan di Malaysia.

Hadir dengan tema Hentikan Penularan COVID-19 Lindungi Hak Kesihatan Wanita dan Gadis dilihat bertepatan dengan senario global yang dilanda pandemik COVID-19 bukan sahaja menyebabkan krisis kesihatan awam, malah turut menjejaskan ekonomi dan pasaran buruh keseluruhannya.

Berdasarkan perangkaan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa lebih 70 peratus petugas sektor kesihatan dan sosial adalah golongan wanita, jadi amat wajar penghargaan diberikan kepada mereka yang selama ini telah bertungkus lumus sebagai barisan hadapan demi memastikan kesihatan setiap penduduk dan individu terjamin daripada dijangkiti COVID-19.

Dalam pada itu, bagi memastikan keselamatan kesihatan wanita dan gadis dilindungi, KPWKM telah wujudkan Talian Khas Kaunseling COVID-19 bagi memberi sokongan psikologi kepada wanita dan orang ramai yang terkesan akibat penularan wabak dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perkhidmatan tele-kaunseling 24 jam setiap hari itu merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk memastikan kesihatan mental rakyat Malaysia sentiasa berada ditahap stabil, selain berusaha menggalakkan majikan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah, memberi kebenaran waktu kerja anjal dan sistem penggiliran jadual kerja antara suami dan isteri yang memiliki anak kecil ketika pusat jagaan dan sekolah masih ditutup.

Walaupun mencabar langkah tersebut membantu ramai wanita khususnya yang berkeluarga untuk terus produktif dengan memanfaat sepenuhnya kepesatan teknologi komunikasi dan melindungi kesihatan mereka daripada terdedah kepada jangkitan COVID-19.

Setakat ini Malaysia telah pun diiktiraf sebagai antara negara terbaik dalam mencegah penularan COVID-19. Sehingga 26 Jun, kadar penyembuhan kes di Malaysia adalah tertinggi kalangan negara anggota ASEAN iaitu 96.4 peratus. Manakala kes kematian akibat COVID-19 di Malaysia antara terendah seluruh dunia iaitu 1.41 peratus.

Trend penurunan jumlah kes harian tempatan merekodkan angka satu digit sejak akhir-akhir ini membuktikan tahap kesedaran dan pengetahuan rakyat mengenai COVID-19 serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) semakin tinggi.

Sementara itu UNFPA menganggarkan tempoh enam bulan semasa PKP bakal menyebabkan tujuh juta kehamilan tidak dirancang di seluruh dunia.

Sehubungan itu, bagi mengukuh perkhidmatan kesihatan reproduktif ketika tempoh kawalan pergerakan, LPPKN dengan kerjasama UNFPA menyediakan khidmat nasihat perancangan keluarga secara atas talian dan juga khidmat penghantaran kontraseptif kepada pelanggan terutamanya kumpulan berpendapatan rendah.

Selain itu, pendidikan reproduktif secara atas talian turut disampaikan kepada remaja bagi mengelakkan golongan tersebut turut terkesan.

Jadi, sempena sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020, KPWKM melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan UNFPA serta Pusat Pengajian Kependudukan, Universiti Malaya (UM) melaksanakan pelbagai aktiviti seperti kajian pendapat umum secara atas talian, seminar melalui webinar 27 Julai ini bertajuk ‘The Social, Health and Economic Impact of COVID-19 in Malaysia’, yang bakal membincangkan norma baharu kehidupan termasuk kesannya terhadap sosial, ekonomi dan kesihatan reproduktif.

Sebarang maklumat lanjut mengenai sambutan Hari Penduduk Sedunia 2020 boleh layari laman web LPPKN: www.lppkn.gov.my. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas