Berita

Kesalahan Mencuri, Tidak sopan.. ALIFF AZIZ Dipenjara Dua Minggu

ALIFF AZIZ
- Diterbit 15 September 2020 10:39 AM MYT

PENYANYI dan pelakon kontroversi Aliff Aziz dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Negara Singapura selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai.

Menurut laporan berita AGENSI, Aliff mengaku bersalah di mahkamah itu hari ini atas dua pertuduhan itu pada 7 Ogos lalu.

Menerusi kertas pertuduhan yang dibacakan, Aliff didakwa mencuri wang sebanyak RM915 dan RM285 milik pelakon dan ahli politik Indonesia, Raja Yunika Perdhana Putri dalam bilik hotel di Nanson Road berdekatan Havelock Road, Singapura.

Pertemuan mereka diadakan kerana mahu membincangkan bagaimana Yunika boleh membantu Aliff mengembangkan kerjayanya di Indonesia.

Yunika dikatakan telah meninggalkan beg tangannya berhampiran Aliff kerana ke bilik lain pada pukul 1 pagi untuk berehat.

Namun ketika Aliff meninggalkan bilik, Yunika mendapati sejumlah wang tunai dalam beg tangannya hilang.

Walaubagaimanapun, ketika Yunika menghubunginya, Aliff menafikan mengambil wang terbabit dan membuat laporan polis.

Timbalan Pendakwa Raya Sarah Siaw berkata, Aliff kemudian mengakui mencuri wang itu kerana terdesak memerlukan wang.

Dia juga mengaku wang yang dicuri digunakan untuk membeli makanan dan membayar pengangkutan.

Sementara itu, dalam kes berbeza, Aliff didapati mabuk di bawah jambatan pusat beli-belah Orchard Towers pada jam 5.30 pagi pada 10 November tahun lalu.

Ketika kejadian, seorang pegawai polis melihat dia menjerit dengan kuat dan memberi isyarat kepada seseorang.

Sarjan Theodore Lee meminta Aliff untuk bertenang dan dia mematuhinya sebelum berlalu pergi dan melakukan perkara serupa kira-kira satu jam kemudian.

Kali ini, Aliff didakwa berjalan menuju ke sebuah teksi dan menyepak ‘bumper’ teksi berkenaan tetapi tiada kerosakan berlaku.

Aliff mula dikenali sebagai penyanyi pada 2007 selepas memenangi Singapore Idol versi Suria saluran Melayu iaitu Anugerah.

Penyanyi lagu Sayang Sayang itu menjadi perhatian tahun lalu kerana isu curang dengan isterinya yang juga penyanyi dan pelakon Malaysia, Bella Astillah.

Pasangan yang berkahwin pada 2016 itu berpisah pada 16 Mei tahun lalu, namun kembali rujuk dalam tempoh edah.

Sumber: AGENSI

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas