Berita

Kes saman Puncak Niaga terhadap Khalid Ibrahim, kerajaan Selangor dibicarakan

- Diterbit 11 Februari 2021 10:01 AM MYT

MAHKAMAH Rayuan hari ini memerintahkan kes saman berjumlah RM13.5 bilion yang difailkan oleh Puncak Niaga Holdings Berhad terhadap bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan kerajaan negeri Selangor berhubung penstrukturan semula industri air negeri itu dibicarakan.

Ini selepas panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Datuk Hanipah Farikullah membenarkan rayuan Puncak Niaga untuk menterbalikkan keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman syarikat itu terhadap Abdul Khalid dan kerajaan Selangor.

Bagaimanapun Hanipah yang bersidang bersama-sama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk S. Nantha Balan, menolak rayuan Puncak Niaga berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan saman terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam prosiding yang berlangsung menerusi Zoom hari ini.

Hakim itu berkata mahkamah mendapati elemen ‘tort misfeasance’  (salah guna kuasa) di pejabat awam tidak dibuktikan secukupnya terhadap Mohamed Azmin selaku defendan kedua dalam saman tersebut.

“Sehubungan itu, rayuan ditolak dengan kos RM10,000,” katanya.

Panel hakim bagaimanapun berpuas hati pihak perayu mengemukakan alasan yang munasabah terhadap Abdul Khalid sebagai defendan pertama berhubung salah guna kedudukan di pejabat awam.

“Mengenai isu pembatasan di bawah Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam, kami berpendapat perkara ini merupakan persoalan perundangan yang penting yang perlu dibincangkan lebih mendalam.

“Berdasarkan pandangan itu, ada kekhilafan oleh yang arif Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Akhtar Tahir yang mewajarkan intervensi perayu.

“Sehubungan itu, rayuan oleh Puncak Niaga dibenarkan. Keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam diketepikan. Kes ini akan dibicarakan dan pengurusan kes di hadapan hakim Mahkamah Tinggi ditetapkan pada 18 Feb,” katanya.

Panel hakim itu membuat keputusan selepas mendengar hujahan peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Puncak Niaga; Edmund Bon Tai Soon bagi pihak Abdul Khalid dan N. Surendran mewakili Mohamed Azmin manakala Penolong Penasihat Undang-Undang Selangor Nur Irmawatie Daud mewakili kerajaan negeri itu.

Puncak Niaga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 22 Feb 2018 yang membatalkan saman syarikat berkenaan terhadap Abdul Khalid, Mohamed Azmin dan kerajaan Selangor.

Dalam saman yang difailkan pada  2017 itu, Puncak Niaga mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam  untuk menyebabkan kerajaan  persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor.

Sehubungan itu, syarikat berkenaan  menuntut ganti rugi, faedah ke atas ganti rugi dan kos berhubung kehilangan peluang perniagaan di dalam dan luar negara, berjumlah RM13.5 bilion.

Abdul Khalid dan kerajaan Selangor memohon Mahkamah Tinggi membatalkan saman itu dan dalam permohonannya, Abdul Khalid berkata tindakan Puncak Niaga terhadapnya dibuat atas dakwaan salah guna kuasa di pejabat awam  sedangkan beliau bukan penjawat awam menurut undang-undang berkaitan seperti  Akta Prosiding Kerajaan 1956,  Akta Tafsiran 1948 & 1967, Undang-Undang Perlembagaan Selangor 1959 dan Perlembagaan Persekutuan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas