Berita

Kes Covid-19 naik mendadak jika tak patuh SOP Aidilfitri

DATUK DR NOOR HISHAM ABDULLAH
- Diterbit 27 Mei 2020 11:38 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan khuatir kemungkinan berlakunya peningkatan kes Covid-19 susulan pergerakan orang ramai melalui aktiviti kunjung-mengunjung, merentas negeri dan pergaulan semasa Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata,
masyarakat perlu berwaspada dengan tidak ambil mudah situasi penurunan kes positif Covid-19 ketika ini.

“Sekiranya masyarakat leka, tidak patuh dan ingkar kepada standard prosedur operasi (SOP) yang ditetapkan, Kementerian Kesihatan menjangka berlakunya peningkatan kes mendadak seterusnya boleh mengakibatkan gelombang baharu wabak Covid-19 di negara ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, selepas meningkat beberapa hari, kes baharu kembali berkurang kepada dua angka.

“Daripada jumlah kes baharu hari ini iaitu 15 kes, sebanyak lima kes adalah penularan tempatan dalam kalangan warganegara Malaysia.

“Peningkatan kes positif Covid-19 yang dilaporkan sejak beberapa hari lalu disebabkan pengesanan di beberapa Depot Tahanan Imigresen (DTI) dan lain-lain kluster aktif yang bukan membabitkan rakyat tempatan.

“Ini susulan tindakan pendekatan tertumpu kerajaan dalam membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, penurunan kes Covid-19 penularan tempatan ini selaras dengan unjuran Kementerian Kesihatan sebelum ini dan hasil tindakan kesihatan awam sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas