Biz

Kerjasama strategik bangunkan hab NxGV

MADANI (dua dari kanan) bergambar bersama Zhou Hua (paling kanan) dan juga wakil dari DRB-Hicom dan Proton selepas majlis menandatangani MoU di Cyberjaya baru-baru ini.
- Diterbit 10 Januari 2020 5:25 AM MYT

CYBERJAYA – Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Pusat Teknologi dan Penyelidikan Automotif China (CATARC), DRB-Hicom Bhd. dan Proton Holdings Bhd. membentuk kerjasama strategik untuk membangunkan hab kenderaan generasi akan datang (NxGV) di negara dan rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari berkata, pihak terbabit akan memberi tumpuan kepada pembangunan kemudahan pengujian NxGV di Malaysia yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara.

“MARii dan CATARC akan memberi tumpuan kepada pemindahan pengetahuan dan kepakaran, piawaian teknikal dan pembinaan kemudahan di pusat ujian untuk menubuhkan pusat ujian NxGV sepenuhnya di Malaysia bagi meningkatkan keupayaan domestik dalam pembangunan dan pengujian NxGV di ASEAN.

“Kita tidak mempunyai kemudahan pengujian penuh di sini. Kita telah mula bina sebuah tetapi ia belum lengkap. Justeru kerjasama ini akan membolehkan kita melengkapkan kemudahan pengujian di Malaysia menjelang 2023 dengan bantuan CATARC,” katanya setelah majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara pihak-pihak tersebut baru-baru ini.

Hadir sama Pengarah Urusan DRB-HICOM dan Pengerusi PROTON, Datuk Seri Syed Faisal Albar Syed Ali Rethza Albar.

Sementara itu, Pengurus Besar CATARC, Zhou Hua berkata, kerjasama ini juga akan membuka kunci akses kepada pasaran ASEAN.

“Kepakaran perniagaan kami terutamanya dari segi ujian dan pensijilan boleh dikongsi dengan industri automotif Malaysia dan ASEAN pada masa hadapan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas