Personaliti

Kerja kemasyarakatan bukan bermusim

MOHD. NAJIB
MOHD. NAJIB
- Diterbit 4 Julai 2019 7:26 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

PENGALAMAN yang diraih dalam kerja kemasyarakatan dan kebajikan semasa aktif di dalam pertubuhan pelajar satu ketika dahulu telah berjaya membuka mata­ Mohd. Najib Mohd. Yusoff, 30 untuk meneruskan bakti walau di mana sahaja berada.

Bagi Eksekutif di Agrobank Kuala Lumpur ini, sesuatu jawatan yang ditawarkan bukanlah untuk dijadikan sebagai satu kemegahan sebaliknya tanggung­jawab yang perlu dipikul untuk membantu masyarakat.

“Jawatan memberikan peluang untuk kita menggilap bakat kepimpinan dan menggilap potensi untuk lebih matang dalam mengendalikan urusan rakyat,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Mohd. Najib yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Parlimen Lembah Pantai Sub Zon 6 menggalas amanah mengendalikan penduduk di kawasan Jalan Klang Lama, Sentosa Utara dan Sentosa Selatan.

“Lokasi tersebut merupakan kawasan yang bercampur dan memerlukan toleransi yang tinggi ketika berhadapan mahupun berkomunikasi dengan penduduk pelbagai kaum,” katanya.

Kata Mohd Najib, walaupun berpengalaman dalam kerja-kerja kebajikan, dia mengalami pengalaman berbeza apabila perlu menyantuni rakyat pelbagai kaum.

“Setiap kaum mempunyai sensitiviti tersendiri, begitu juga dengan pegangan agama masing-masing namun di sinilah saya belajar berkomunikasi dengan mereka.

“Bandar raya Kuala Lumpur terserlah keunikannya kerana masyarakat pelbagai kaum dan agama yang bersatu padu selain bebas mengamalkan budaya dan agama masing-masing tetapi masih boleh hidup dengan aman dan tenteram,’’ katanya.

Jelas Mohd. Najib, sesuatu aktiviti kemasyarakatan yang diadakan menjadi lebih meriah jika melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.

“Anggota masyarakat terlibat aktif dan ini mungkin disebabkan mereka teruja untuk membantu kerajaan baharu,’’ katanya

Pemuda yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini mengakui berasa puas melakukan aktiviti melibatkan orang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.

Anak bongsu dari 10 adik beradik ini menasihatkan kepada anak muda yang cenderung dalam kerja-kerja kebajikan kemasyaratan perlu konsisten dan tidak bermusim.

“Jalankan amanah dengan baik, adil dan saksama tanpa mengira usia, agama dan kaum. Jangan harapkan balasan sebaliknya lakukan dengan seikhlas hati, barulah kita gembira dengan apa yang kita laksanakan,’’ nasihatnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas