Berita

Kerajaan tanggung kos makan 60,000 pelajar IPT di asrama

PELAJAR Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil makanan percuma yang disediakan pihak universiti tersebut di Nilai hari ini. USIM turut melaksanakan polisi 'social distancing' sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini.
- Diterbit 20 Mac 2020 12:43 PM MYT

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos makan minum kira-kira 60,000 penuntut institusi pengajian tinggi yang kekal mendiami di asrama kolej masing-masing sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan hingga 31 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu dilakukan dengan mengambil kira ketidakmampuan pelajar yang tidak dapat pulang ke kampung dan perlu kekal di kolej selepas perintah itu dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

“Ibu bapa tidak perlu bimbang anak-anak tuan-tuan, mereka berada dalam keadaan selesa di kolej dan makan minum akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Putra Perdana hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad.

Ismail Sabri berkata, pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan membuat pengiraan bagi menentukan berapa kos dan bilangan penuntut yang perlu ditanggung makan minum mereka.

“Kerajaan-kerajaan negeri juga beri sumbangan kepada pelajar-pelajar mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Ali akan dapatkan surat daripada majikan syarikat swasta bagi pelepasan bagi kemudahan sekiranya ada pekerja syarikat berkenaan ditahan dalam sekatan pihak polis.

“Untuk pekerja kerajaan, Ketua Setiausaha kementerian akan keluarkan surat pelepasan sebagai bukti mereka dibenarkan untuk datang bekerja,” katanya.

Dalam pada itu, kata beliau, ibu bapa yang sudah berada di kampung diminta tidak pulang semula ke ibu kota sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan tamat 31 Mac ini.

“Arahan kita, ibu bapa yang anak ada cuti terus tinggal di kampung,” tegasnya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 55 rakyat Malaysia yang berada di Iran dan 94 di Itali akan dibawa pulang ke tanah air pada 22 dan 23 Mac ini.

“Semua yang pulang akan dikuarantin selama 14 hari kerana mereka datang dari negara yang berisiko paling tinggi,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas