Berita

Kerajaan sasar lebih 500 Coopmart bantu ringankan beban Keluarga Malaysia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) semasa Majlis Pelancaran Coopmart dan Perasmian Coop Community Mart (CCM), Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Dewan Seri Pudina, Presint 17, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 15 April 2022 6:28 AM MYT

MENYEDARI ramai yang terkesan akibat pandemik COVID-19 sehingga ada yang terputus bekalan makanan, kerajaan bersama Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP) serta Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mensasarkan penubuhan lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) yang menawarkan harga rendah dan berpatutan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selain dapat membaik pulih ekonomi negara, inisiatif tersebut dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia khususnya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti penduduknya adalah golongan B40, ahli-ahli koperasi, para pengguna dan usahawan yang terlibat.

“Penubuhan Coopmart bukan sahaja membolehkan ahli koperasi untuk menjana pendapatan melalui dividen, malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Sehingga kini, sektor koperasi mencatat perolehan sebanyak RM41.47 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya sebanyak 7.1 juta orang. Ini merupakan satu pencapaian yang membanggakan.

“Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat,” katanya yang turut memaklumkan kerajaan akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dan strategik melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan dalam memastikan Keluarga Malaysia tidak begitu terkesan.

Jelasnya, gerakan koperasi boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu.

“Sehingga Disember 2021, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

“Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan,” katanya ketika Majlis Pelancaran Coopmart dan Perasmian Coop Community Mart (CCM), Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Dewan Seri Pudina, Presint 17, Putrajaya.

Tambahnya lagi, sekiranya kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya turut menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.

“Harapan saya adalah untuk melihat banyak produk koperasi tempatan dipamerkan dan kualitinya juga setanding dengan jenama produk terkemuka,” ujarnya.

Program yang berlangsung itu turut menarik minat penduduk sekitar melalui jualan harga patut dengan potongan harga barangan asas sehingga 70 peratus.

Hadir sama, Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya, Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Suriani Datuk Ahmad, Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Zazali Haron dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad, Datuk Abdul Fattah Abdullah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas