Berita

Kerajaan perkenal dasar Manhaj Rabbani

ZULKIFLI mendengar taklimat daripada Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah pada Muzakarah Khas mengenai Covid-19 di Putrajaya semalam.
- Diterbit 25 Januari 2021 5:19 AM MYT

KERAJAAN memperkenalkan Dasar Manhaj Rabbani sebagai dasar pentadbiran Islam yang berpaksikan tiga ciri utama — Thaqafah (keilmuan), Ruuhaniyyah (kerohanian) dan Da’wah (aktivisme).

“Dasar Manhaj Rabbani adalah suatu konsep yang dekat dengan masyarakat, jelas, mudah difahami dan mampu diterjemahkan di peringkat individu, komuniti, organisasi dan negara,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Ketika menyampaikan amanat sempena perhimpunan agensi di bawah jabatannya secara dalam talian, Zulkifli menghuraikan dasar berkenaan iaitu Manhaj Rabbani menuntut seseorang individu untuk berpegang kepada prinsip ubudiyyah kepada Tuhan dalam kehidupannya.

Menurutnya, Manhaj Rabbani selari dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Islam dan kedudukan itu diperkukuhkan menerusi prinsip pertama Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan.

Zulkifli berkata teras kepada Dasar Manhaj Rabbani itu adalah Maqasid Syariah manakala tahap pencapaian di bawah dasar itu diukur dengan pelaksanaan aplikasi i-MaqSD, di bawah seliaan Bahagian Maqasid Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

i-MaqSD adalah inisiatif yang dirangka sebagai kaedah untuk mengukur secara saintifik tahap pengaplikasian lima prinsip Maqasid Syariah dalam pelaksanaan fungsi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan ia diintegrasikan dengan 17 matlamat agenda 2030 Sustainable Development Goals (SDGs).

Pelaksanaan i-MaqSD menggunakan kaedah penyelidikan Mix Method iaitu kuantitatif dan kualitatif, melibatkan enam bidang utama dan 29 indikator yang berkait secara langsung dengan fungsi setiap agensi.

Bidang tersebut ialah Perundangan Dan Kehakiman Syariah; Pendidikan Dan Pembangunan Insan; Sosio Ekonomi Ummah; Dakwah Dan Media; Institusi Masjid; dan Kepimpinan Dan Tadbir Urus.

Zulkifli berkata berdasarkan projek perintis i-MaqSD yang dilaksanakan oleh Bahagian Maqasid ke atas 14 agensi di bawah jabatan tersebut, Tahap Pencapaian Keseluruhan i-MaqSD pada 2020 adalah 85.9 peratus.

Dalam amanatnya, Zulkifli meminta agensi-agensi di bawahnya untuk memperkemaskan unit komunikasi korporat masing-masing supaya setiap isu yang timbul di media termasuk media sosial diambil tindakan segera.

“Ada agensi yang masih terkial-kial memberi respon walaupun isu yang berbangkit di media telah tular diperkatakan. Sewajarnya ada satu perancangan terperinci jika sesuatu isu timbul, apakah tindakan yang akan diambil bagi menyelesaikannya. Berdiam diri tidak akan menyelesaikan apa-apa,” katanya.

Beliau berkata agensi yang memfokuskan agihan bantuan seperti Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia wajar memanfaatkan media sosial seperti Facebook dan Twitter untuk menyebarluaskan laporan aktiviti.

“Kita tidak mahu hantaran di media sosial sekadar melepaskan batuk di tangga dengan hanya 10 tanda suka. Setiap kali hantaran, biar tular dengan ribuan perkongsian, tanda suka dan ulang ciap. Media sosial boleh menjadi echo chamber yang menularkan berita-berita benar dan positif jika kita mahu,” katanya.

Zulkifli berkata walaupun dua sidang parlimen pada tahun ini mungkin tertangguh kerana darurat, namun gerak kerja atau tindakan untuk menyelesaikan isu seperti Rang Undang-undang (RUU) Wakaf, RUU355 dan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tabung Haji perlu diteruskan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas