Berita

Kerajaan negeri arah aktiviti di kawasan Air Terjun Batu di Segari dihentikan – Saarani

- Diterbit 18 Januari 2021 5:29 AM MYT

KERAJAAN negeri mengarahkan sebarang kerja-kerja termasuk aktiviti kuari di kawasan Air Terjun Tanjung Batu Teluk Sera, Segari di Pantai Remis, Beruas dihentikan sementara.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata arahan itu dikeluarkan sementara menunggu hasil siasatan terhadap dakwaan berlaku kerosakan di kawasan air terjun terletak di Hutan Simpan Segari Melintang, Pantai Remis yang berstatus Hutan Simpanan Kekal.

Katanya, kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Perhutanan dan Jabatan Alam Seitar (JAS) untuk melakukan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan yang tular di media sosial baru-baru ini.

“Pihak Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) juga diminta menyediakan laporan terperinci mengenai aktiviti kuari yang didakwa menjadi punca kerosakan di kawasan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa) membawa media meninjau kawasan terlibat telah mendakwa air terjun yang menjadi tarikan pelancongan, kini musnah hampir 90 peratus susulan aktiviti kuari sejak tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perhutanan Perak Datuk Mohamed Zin Yusop berkata tindakan akan diambil ke atas kontraktor terlibat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 jika terbukti berlaku pelanggaran syarat lesen bagi aktiviti kuari di kawasan air terjun berkenaan.

“Kontraktor juga telah diarah melakukan kerja-kerja pembersihan dengan segera. Hujan lebat menghanyutkan sisa-sisa kayu daripada aktiviti kuari ke dalam sungai sehingga menyebabkanya kotor,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohamed Zin berkata beliau masih menunggu laporan daripada Pejabat Hutan Daerah bagi mengenal pasti tahap serius kerosakan kawasan air terjun tersebut. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas