Berita

Kerajaan belanja RM2.6 juta untuk sanitasi awam

- Diterbit 19 Oktober 2020 7:33 AM MYT

KERAJAAN telah membelanjakan RM2.6 juta untuk operasi sanitasi awam di Putrajaya bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, operasi sanitasi itu akan dilaksanakan di semua jabatan kerajaan, masjid, pusat beli-belah serta kawasan awam.

“Proses sanitasi ini perlu dilaksanakan dengan kerap di pusat pentadbiran negara kerana ia merupakan tempat yang sering dikunjungi oleh orang awam untuk pelbagai urusan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Operasi Sanitasi Awam di Presint 4 di sini, hari ini.

Operasi ini meliputi bangunan Kementerian Komunikasi dan Multimedia; Kementerian Pembangunan Luar Bandar; Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta kawasan parkir terbuka, perhentian bas, lobi pejabat dan tempat-tempat awam yang terlibat.

Kata Annuar, program sanitasi ini mesti menjadi program rutin dan salah satu cara hidup selagi vaksin virus berkenaan tidak ditemui.

“Ia seperti cara kehidupan seharian kita iaitu kerap membersihkan diri seperti mandi, cuci tangan, gunakan cecair nyahkuman dan sebagainya.

“Program ini perlu menjadi sebahagian daripada program rutin kerana keadaan kini COVID-19 tidak mempunyai vaksin, maka kebarangkalian gelombang demi gelombang akan datang dari semasa ke semasa,” katanya.

Ujar Annuar lagi, beliau telah mengarahkan semua agensi di bawah kementeriannya untuk menyediakan satu belanjawan bagi tujuan tersebut untuk tahun hadapan.

Hadir sama, Presiden PPj, Datuk Muhammad Azmi Mohd Zain. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas