Berita

Keputusan kes rasuah Rosmah pukul 9 pagi ini

- Diterbit 18 Februari 2021 1:19 AM MYT

MAHKAMAH Tinggi di sini hari ini akan memutuskan sama ada Datin Seri Rosmah Mansor perlu membela diri terhadap pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, atau membebaskannya.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan dijangka memberikan penghakimannya pada pukul 9 pagi terhadap Rosmah, 69, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Rosmah berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Sogokan itu didakwa diterima melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor, sebagai ganjaran kerana menolong Jepak Holdings mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic Hibrid dan Penyelenggaraan Operasi Genset Diesel bagi 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion daripada Kementerian Pendidikan melalui rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di sini; kediaman Rosmah di Jalan Langgak Duta, Taman Duta dan di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya antara Januari 2016 hingga September 2017.

Pendakwaan dijalankan di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah kepuasan atau RM10, 000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pasukan pendakwaan diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram sementara peguam Datuk Jagjit Singh mengetuai pasukan pembelaan.

Hanya 30 wartawan, setiap satu daripada organisasi media terpilih termasuk akhbar asing, diberi pas untuk mengikuti prosiding melalui pautan video di ruangan khas.

Menurut prosedur operasi standard (SOP) semasa pandemik COVID-19 yang dikeluarkan oleh Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan, liputan media dalam prosiding mahkamah terbuka tidak dibenarkan, kecuali bagi kes-kes yang melibatkan kepentingan umum, dan pihak mahkamah boleh mempertimbangkan untuk menyediakan ruang untuk siaran langsung atau menyediakan kemudahan liputan media melalui aplikasi zoom. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas