Berita

Keprihatinan kerajaan amat disyukuri – Ras Adiba

BERKERUSI roda tidak menghalang Aidi menjalankan perniagaan, D'Chick Kampungku.
- Diterbit 5 Jun 2020 9:48 AM MYT

KUALA LUMPUR – Nasib dan kebajikan golongan orang kelainan upaya (OKU) dan ibu tunggal tidak sama sekali di abaikan apabila mereka  turut mendapat perhatian kerajaan melalui pengumuman Pakej Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.

Senator Ras Adiba Radzi berkata, dianggarkan seramai 300,000 orang terus mendapat perhatian melalui sumbangan RM300 diumumkan kerajaan yang bakal disalur menjelang Hari Raya Aidiladha nanti.

RAS ADIBA

Beliau berkata, pengumuman tersebut secara langsung memberi sinar baharu dalam kehidupan mereka yang turut terjejas akibat penularan wabak Covid-19.

“Alhamdulillah, saya sangat terharu dan bersyukur atas inisiatif ini sekali gus membuktikan kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan seperti kami yang selama ini hidup umpama kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Adalah menjadi harapan saya agar semua OKU dan ibu tunggal yang mendapat perkhabaran ini terus memanjatkan rasa syukur dan memanfaat sumbangan tunai one-off RM300 ini untuk merancang belanja dengan berhemat selain terus berusaha gigih bagi meneruskan kelangsungan hidup,” katanya ketika dihubungi Wilayahku hari ini.

Mengulas lanjut, Ras Adiba berkata, rangsangan pakej Penjana ini menjadi kayu pengukur yang penting baginya untuk terus menabur bakti dan berkhidmat kepada rakyat golongan sasar.

Menurutnya, insentif yang diberikan itu sama sekali tidak pernah dijangka memandang beliau masih baharu menjawat tugas sebagai Senator.

“Saya amat terharu sekali kerana walaupun amat baharu dalam tugas ini, setiap cadangan yang diutarakan telah mendapat perhatian yang sewajarnya.

“Terima kasih Perdana Menteri kerana berikan sinar baharu yang menjadi penyuluh untuk meneruskan kehidupan walaupun kami hidup dalam keadaan serba kekurangan,” katanya yang teresak-esak menahan rasa terharu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas