Berita

Kenyataan terkini DBKL isu kontrak lampu isyarat

PEMBINAAN tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi.
- Diterbit 13 Jun 2022 4:42 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menafikan dakwaan bahawa pihaknya telah melantik Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) bagi melaksanakan kerja-kerja untuknya.

Menurut kenyataan kedua yang dikeluarkan DBKL, mereka tidak pernah memberi kebenaran kepada mana-mana pihak untuk melantik SCIB atau mana-mana anak syarikatnya untuk melaksanakan apa-apa kerja berkaitan perkhidmatan kejuruteraan untuk penggantian tiang lampu pintar bersepadu DBKL bagi pihak DBKL

“DBKL setakat ini telah melantik secara berperingkat 29 syarikat panel yang mempunyai lesen network facilities provider (NFP) sejak tahun 2013 bagi melaksanakan penggantian tiang lampu sedia ada kepada tiang lampu berintegrasi sistem pemancar telekomunikasi (dwi fungsi) di sekitar Kuala Lumpur. Dan segala kos penggantian tiang lampu ini ditanggung sepenuhnya oleh syarikat panel tersebut.

“Tiang lampu dwifungsi tersebut merupakan tiang lampu jalan yang diintegrasikan dengan pemancar telekomunikasi dan rasional pembinaan tiang lampu dwifungsi ini adalah untuk meningkatkan perkhidmatan telekomunikasi di Kuala Lumpur kepada rangkaian 5G selaras dengan hasrat Kerajaan untuk menyiapkan infrastruktur ini di Kuala Lumpur secepat mungkin,” katanya.

Jelas kenyataan itu, tujuan utama pembinaan tiang lampu dwifungsi adalah untuk meningkatkan kualiti dan liputan (coverage) perkhidmatan komunikasi tanpa wayar seterusnya pengguna di Kuala Lumpur dapat menikmati kemudahan perkhidmatan 5G yang terbaik,” katanya.

Terdahulu beberapa media telah melaporkan SCIB melalui anak syarikat milik penuhnya, SCIB Properties Sdn Bhd, menerima surat lantikan bagi kontrak kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pengoperasian (EPCC) bernilai RM30.75 juta daripada Ennova Sdn Bhd membabitkan penggantian 200 unit tiang lampu lampu pintar bersepadu DBKL yang dijangka bermula pada bulan ini dan berakhir pada Mei 2023.

Menerusi laporan tersebut, ia mencetuskan komen beberapa pihak yang mempertikaikan nilai kontrak termasuklah beberapa ahli politik pembangkang Kuala Lumpur. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas