Berita

Kenduri Rakyat antara acara dinantikan orang ramai

PROGRAM Kenduri Rakyat menjadi acara yang ditunggu-tunggu oleh warga Labuan.
- Diterbit 31 Januari 2020 9:29 AM MYT

LABUAN – Sebanyak 10 acara menarik akan dianjurkan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 peringkat Wilayah Persekutuan Labuan.

Pengerusi Perbadanan Labuan (PL), Datuk Seri Amir Hussein berkata, sambutan itu sudah bermula sejak minggu lalu dengan penganjuran program kibar bendera Wilayah Persekutuan.

“Dalam program tersebut, kami menganjurkan beberapa acara sampingan seperti kayuhan basikal dan beberapa program kecil di sekitar kampung.

“Kami turut akan menganjurkan beberapa program bercorak kerohanian seperti majlis tadarus al-Quran serta ceramah agama yang membawakan mesej keamanan dan perpaduan,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Amir, program sampingan turut dianjurkan di peringkat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dengan acara kemuncak adalah Kenduri Rakyat di pekarangan Arena Boling Padang.

‘’Kenduri Rakyat merupakan acara yang meriah kerana setiap warga Labuan akan memenuhi program ini. Walaupun setiap tahun acara ini dianjurkan, orang ramai tetap meluangkan masa untuk meraikan program ini kerana ia merupakan satu program mesra rakyat yang akan turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad.

Kata Amir lagi, pihak swasta juga turut menyertai sambutan ini melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) antaranya Petronas, Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (LFSA) serba beberapa syarikat swasta tempatan.

“Mereka akan menyantuni dan menghulurkan sumbangan kepada golongan anak-anak yatim dan asnaf dalam memeriahkan lagi sambutan pada tahun ini,’’ katanya.
Bagi menyantuni golongan tidak berkemampuan, katanya, PL turut akan mengadakan program Ziarah Kasih.

Selain itu, Amir berkata, bagi meriahkan lagi sambutan itu, orang ramai turut dapat bersama-sama menyertai program Art by the Bay Festival di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada Jumaat depan selain Karnival Sukan Wilayahku di lokasi yang sama pada 8 Februari ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas