Berita

Kenali Agong di Pameran Raja Kita

PAMERAN AGONG
PELBAGAI jenis pakaian yang dipakai turut dipamerkan kepada orang ramai.
- Diterbit 18 Ogos 2019 4:25 AM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

BERSEMPENA dengan Pertabalan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 baru-baru ini, satu pameran khas yang diberi nama Pameran Raja Kita diadakan di Muzium Diraja, Kuala Lumpur.

Pameran yang berlangsung bermula 5 Ogos hingga 5 November ini bertujuan memberi kefahaman berhubung institusi raja merangkumi bidang tugas, personaliti dan latar belakang Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.

Sejumlah 198 koleksi barangan kebesaran serta peribadi yang terdapat pada pameran yang diadakan lima tahun sekali ini. Antaranya barangan eksklusif seperti kalung dan gendik.

Menurut Pengarah Muzium Diraja, Miti Fateema Sherzeella Mohd Yusoff, selain memberi maklumat terhadap peranan dan sumbangan Sultan Abdullah, objektif utama pameran ini turut mendekatkan pengunjung dengan sisi peribadi Baginda serta Tunku Azizah Aminah Maimunah.

“Di ruang Balairung Seri menghimpunkan koleksi yang menujukkan minat baginda berdua yang berkisar kepada hobi peribadi seperti sukan, masakan, aktiviti-aktiviti kemasyarakatan dan sebagainya,” ujarnya.

Katanya lagi, pameran kali ini terbahagi kepada beberapa segmen tertentu iaitu segmen Sejarah Persekutuan Diraja, Sejarah Diraja Negeri Pahang dan sejarah peribadi Yang di-Pertuan Agong serta Permaisuri Agong.

“Segmen ini penting bagi menarik minat pengunjung. Terpulang kepada mereka untuk memilih bahagian yang mana satu. Ia suatu pameran yang hebat dan penuh dengan ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Menyingkap sejarah bermulanya asal usul pameran ini, Menurut Miti Fateema, ia bermula pada tahun 1980 ketika Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-7, Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang juga merupakan ayahanda Sultan Abdullah yang telah ditabalkan di Balairung Seri ini.

Antara koleksi lain yang bakal menarik 50,000 pengunjung sepanjang tempoh tiga bulan berlangsung adalah alat kebesaran diraja dari Istana Negara yang digunakan pada upacara istiadat pertabalan, cogan agama, cogan alam dan sebagainya.

Turut mencuri perhatian pengunjung adalah koleksi kalung yang diberi kepada kanak-kanak yang berjaya dilahirkan menerusi rawatan kesuburan (IVF) Yayasan Kesuburan Tunku Azizah (TAFF) yang ditubuhkan pada Ogos 2004.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas