Utama

Kenaikan OPR: YWP kekal kadar ansuran pinjaman

TIADA kenaikan OPR sewa dikenakan SPWP.
- Diterbit 22 Januari 2023 3:00 AM MYT

KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menaikkan Kadar Semalaman (OPR) baru-baru ini telah menimbulkan keresahan rakyat dan tidak kurang juga pelbagai reaksi dalam kalangan mereka.

Rata-ratanya menyifatkan kenaikan kadar tersebut bakal meningkatkan lagi pembiayaan ansuran bulanan pinjaman perumahan sekali gus menganggap ia membebankan susulan kesempitan hidup ekoran pandemik COVID-19.

Melihat situasi ini, Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP) yang juga anak syarikat Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengambil langkah untuk tidak menaikkan kadar OPR kerana memahami beban yang ditanggung oleh penyewa dan pembeli.

Pembantu Operasi SPWP, Haziq Asnawi Hassan Azhari berharap tindakan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban ekonomi yang dihadapi oleh peminjam perumahan di bawah SPWP.

HAZIQ ASNAWI

“Kepada mereka yang mungkin keliru atau tertanya-tanya tentang perkara ini, ingin saya jelaskan SPWP tidak menaikkan kadar OPR untuk ansuran pinjaman sewa beli rumah yang disediakan.

“Ini kerana SPWP memahami situasi rakyat yang sedang bergelut dengan masalah ekonomi terutamanya selepas pandemik COVID-19. Apatah lagi daripada kelompok berpendapatan rendah (B40) yang berdepan isu kos sara hidup.

“Ada sesetengahnya kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jadi macam mana nak bayar komitmen lain. Kalau ada kenaikan kadar OPR sudah tentu menambah beban mereka,” katanya.

Tambah Haziq lagi, kepada penyewa yang mempunyai masalah pembayaran, dialu-alukan untuk bertemu pihak SPWP bagi tujuan berbincang dan mencari jalan menyelesaikan masalah yang dihadapi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas