Berita

Kempen JomPAY & Win 2022 kembali lagi untuk peminjam PTPTN

KEMPEN ini menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN. Kredit foto BERNAMA
- Diterbit 4 Julai 2022 3:42 AM MYT

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dengan kerjasama Ambank (M) Bhd dan Payments Network Malaysia (PayNet) menganjurkan Kempen JomPAY & Win! 2022.

Ketua Eksekutif PTPTN Ahmad Dasuki Abdul Majid berkata penyertaan kempen ini perlukan peminjam PTPTN membuat bayaran balik antara 1 Julai hingga 30 Sept 2022 dengan nilai minimum RM100 melalui JomPAY untuk melayakkan peminjam mendapat satu cabutan dan penyertaan secara automatik.

“Kempen ini menawarkan hadiah wang tunai dalam bentuk bayaran balik pinjaman PTPTN dengan keseluruhan hadiah sebanyak RM61,000 kepada 25 orang pemenang bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PTPTN.

“Pemenang utama berpeluang memenangi hadiah berjumlah RM25,000, tempat kedua RM15,000 dan tempat ketiga RM10,000. Hadiah sagu hati turut disediakan kepada 22 pemenang dengan setiap pemenang akan menerima RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Dasuki berkata kemudahan saluran dalam talian ini adalah selaras dengan Teras Strategik ke-5, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 dengan memperkasakan organisasi ke arah pendigitalan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada di tahap terbaik.

PTPTN berharap dengan penganjuran kempen ini akan memberi peluang kepada para peminjam untuk membuat bayaran balik secara konsisten melalui JomPAY.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen JomPAY & Win! 2022 layari portal rasmi di www.ptptn.gov.my dan muat turun aplikasi myPTPTN untuk mendapatkan perkhidmatan PTPTN. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas