Berita

Kempen Giving Back Earn CIMB Islamic fokus golongan asnaf

ZULKIFLI (tiga dari kiri) menyaksikan kerjasama antara PPZ-MAIWP dan CIMB Islamic hari ini.
- Diterbit 5 Mei 2020 1:45 PM MYT

PUTRAJAYA – Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) hari ini menjalinkan kerjasama dengan CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) dalam menjayakan Kempen ‘Giving Back Earn More To CIMB Preferred Customers’.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, kempen tersebut merupakan satu nilai tambah bagi servis sedia ada CIMB kepada pelanggan CIMB Preferred mereka dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan berkaitan semua jenis zakat dan faraid serta pelbagai kemudahan lain lagi oleh PPZ-MAIWP.

Jelasnya, kempen akan berlangsung selama lapan bulan bermula Mei hingga Disember tahun ini dan melibatkan gerak kerja antara pasukan Zakat On Preferred PPZ (ZOP PPZ) dan CIMB Preferred.

“Menerusi kempen ini, pasukan ZOP PPZ bersedia untuk memberikan perkhidmatan diperibadikan bagi urusan kiraan, taksiran dan bayaran semua jenis zakat kepada pelanggan CIMB Preferred.

“Pelanggan CIMB Preferred juga secara automatik akan dilindungi dengan Skim Kafalah Muzakki atau dikenali sebagai khairat kematian di mana sekiranya berlaku kematian kepada pembayar zakat, waris boleh menuntut wang khairat kematian daripada PPZ-MAIWP.

“Pelanggan CIMB Preferred yang layak boleh memohon dasar pengembalian semula atau Wakalah untuk diagihkan sendiri kepada asnaf atau menerusi Khaira PPZ (CSR PPZ) bagi membantu menguruskan agihan kepada golongan memerlukan yang terpilih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shukri berkata, kempen tersebut secara tidak langsung dapat meningkatkan penjenamaan CIMB Islamic dalam kalangan pelanggan CIMB Preferred sebagai bank yang cakna kepada masyarakat kurang berkemampuan khususnya dalam keadaan ekonomi yang dihadapi sekarang selain memperkenal dan mendekatkan mereka dengan jenama PPZ-MAIWP.

“Saya berharap kolaborasi ini dapat menjadi pencetus kepada lebih banyak inisiatif lain yang akan meningkatkan mutu perkhidmatan dan kepuasan pelanggan. Kami di PPZ-MAIWP akan sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam memudahkan urusan berzakat agar kebajikan golongan memerlukan akan terus terbela,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic, Ahmad Shahriman Mohd. Shariff memberitahu, pihaknya amat berbesar hati dengan pelancaran program kerjasama tersebut yang mana ia sejajar dengan komitmen jangka panjang syarikat dalam menyediakan perkhidmatan nilai tambah kepada pelanggan CIMB Preferred sekali gus memberikan mereka capaian terus kepada PPZWP untuk proses pembayaran zakat yang lebih mudah, cekap dan teratur.

Tambahnya, kerjasama itu juga dilihat mampu untuk menyumbang kepada kutipan zakat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Terdahulu, majlis disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohammad Al-Bakri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas