Berita

Kementerian Perpaduan Negara salur peruntukan RM1.55 juta bagi penyediaan PPE

- Diterbit 21 Januari 2021 1:22 PM MYT

KEMENTERIAN Perpaduan Negara menyalurkan peruntukan RM1.55 juta kepada 115 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) bagi menjahit dan menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) bermula Mei tahun lepas.

Menteri berkenaan Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata sehingga 4 Jan lepas, sebanyak 176,043 unit PPE disiapkan bagi kegunaan petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM).

Jelasnya, program tersebut dihasilkan oleh KRT di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan, serta Selangor, Johor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perlis, Pulau Pinang, Perak, Kedah, Sarawak dan Sabah.

“Program ini dijalankan dalam lima fasa agihan dan dijangka menghasilkan sejumlah 400,000 unit keseluruhannya pada akhir Februari ini. Peralatan PPE dihasilkan ialah isolation gown, round cap, shoes cover, boot cover dan pelindung muka.

“Inisiatif kementerian melalui jentera perpaduan KRT ini merupakan tenaga sukarela komuniti setempat bagi membantu membekalkan keperluan peralatan PPE kepada petugas barisan hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Halimah berkata penyediaan peralatan PPE oleh KRT itu adalah inisiatif dijalankan secara berterusan mengikut keperluan semasa dan kementerian komited meneruskan sumbangan tersebut dalam usaha bersama untuk memutuskan rantaian COVID-19 di negara ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas