Berita

Kemenangan Erdogan dapat liputan meluas media Amerika

- Diterbit 29 Mei 2023 7:30 AM MYT

PILIHAN raya penentu bagi memilih presiden Turkiye yang diadakan pada Ahad dan kejayaan Recep Tayyip Erdogan mempertahankan kedudukannya menerima liputan meluas media di Amerika.

CNN membuat liputan menyeluruh sepanjang pilihan raya termasuk sambutan meriah yang berlangsung sehingga larut malam di Ankara selepas Erdogan diisytiharkan sebagai pemenang, lapor Agensi Anadolu.

The New York Times, turut menyediakan ruangan khas di laman sesawangnya untuk berita dan kemas kini mengenai pilihan raya itu.

Erdogan dipilih semula sebagai presiden Turkiye selepas mengatasi pencabarnya Kemal Kilicdaroglu.

Menurut keputusan tidak rasmi, Erdogan memperoleh 52.14 peratus undi manakala Kilicdaroglu mendapat 47.86 peratus undian.

“Presiden Erdogan menang pemilihan semula selepas berdepan cabaran besar,” tulis The Times.

The Wall Street Journal (WSJ) pula melaporkan artikel bertajuk: “Pemimpin paling lama berkhidmat di negara itu menewaskan pencabar utamanya dalam pilihan raya penentu.”

Artikel itu turut memuatkan kenyataan bekas duta Amerika Syarikat (AS) ke Turkiye, James Jeffrey, yang menyifatkan Erdogan “tenang berdepan tekanan”  dan “tahu apa yang dilakukannya…”.

The Washington Post melaporkan:”penyandang presiden terselamat daripada dicabar oleh calon yang disokong gerakan pembangkang bersatu.”

Akhbar Politico pula mengeluarkan berita bertajuk “Erdogan Turki Menang Lagi.”

“Erdogan berada dalam kedudukan yang kuat untuk mempengaruhi bukan sahaja hala tuju masa depan demokrasi di negara yang dihuni 85 juta penduduk itu malah membentuk politik di rantau ini dan selainnya,” lapor Politico. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas