Berita

Kembali ke Sekolah: YWP sedia dana RM2.5 juta

PELAJAR mengambil makanan yang disediakan semasa waktu rehat.
- Diterbit 27 Oktober 2020 4:59 AM MYT

SERAMAI 25,000 pelajar daripada keluarga B40 di Wilayah Persekutuan bakal menerima bantuan baucar buku dan alat tulis menerusi program Kembali Ke Sekolah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) pada tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaizalnizam Zainun berkata, peruntukan tersebut melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.5 juta yang mana setiap penerima akan mendapat bantuan sebanyak RM100.

Ujar beliau, bantuan itu akan melibatkan 336 sekolah di peringkat rendah dan menengah seluruh Wilayah Persekutuan.

“Pelajar boleh tebus baucar tersebut di koperasi sekolah untuk membeli buku dan alat tulis,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Menurut Zaizalnizam, keutamaan diberikan kepada pelajar daripada keluarga B40 yang mana senarai nama diperoleh daripada sekolah dan Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).

Mengulas lanjut, ujar beliau, sebelum ini bantuan yang diberikan adalah baju seragam sekolah dan bermula tahun hadapan ia ditukarkan kepada alat tulis.

“Kita tukar kerana pemilihan baju sekolah akan melibatkan himpunan ibu bapa dan ia tidak sesuai dilakukan dalam keadaan COVID-19.

“Selain itu, kita mendapati pihak lain juga memberikan bantuan baju sekolah. Jadi, bagi mengelakkan lambakan bantuan seumpama itu, kita gantikan bantuan kepada alat tulis dan buku,” jelas beliau.

Dalam pada itu, mengulas tentang Bantuan Makanan Tambahan pula, ujar Zaizalnizam, program yang menyasarkan pelajar sekolah menengah itu akan tetap dilaksanakan dengan beberapa penambahbaikkan.

“Kita berhasrat memperluaskannya supaya lebih ramai pelajar akan menerima. Sekarang hanya memberi manfaat kepada 1,400 pelajar sekolah menengah,” jelas beliau.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas