WK2

Kelulusan pelan secara online

PIHAK OSC memberi khidmat dan taklimat kepada pengguna dan
- Diterbit 30 Ogos 2019 2:04 PM MYT

Oleh AINI MAWAWI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN dan PERBADANAN PUTRAJAYA

SEAWAL tahun 2000, Perbadanan Putrajaya (PPj) muncul sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama membangunkan sistem permohonan kelulusan pelan atas talian atau e-submission yang dikenali dengan nama e-pemajuan.

Pada tahun April 2007, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pula memperkenalkan One Stop Centre (OSC) yang bertujuan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan melibatkan permohonan untuk kelulusan pelan di semua PBT.

Justeru, sejak 2014 semua PBT di seluruh negara termasuk PPj perlu melaksanakan sistem Manual OSC 3.0 yang diperkenalkan oleh KPKT untuk memantau proses kelulusan pelan dan status pembangunan projek dari peringkat pengumpulan maklumat hingga pendepositan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC).

Seiring masa berlalu, pada September 2016, PPj terpanggil untuk membangunkan sistem baharu yang dipanggil Sistem Pemantauan OSC 3.0 PPj dengan mengintegrasikan sistem
sedia ada bagi memudahkan pemantauan projek sehingga ke peringkat CCC secara atas talian.

Menariknya sejak sistem tersebut digunakan sepenuhnya oleh PPj pada November 2017, ia turut mendapat sambutan menggalakkan bahkan diguna pakai oleh agensi teknikal dalaman dan agensi teknikal luar.

Antara agensi-agensi teknikal luar yang mengguna pakai sistem ini adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pejabat Tanah Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ketua Pegawai Kerajaan Malaysia (CGSO), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan sebagainya.

Menurut Pengarah Pembangunan Tanah dan Kelulusan Pelan, Jabatan Perancangan Bandar PPj, TPr Salmah Salman, agensi-agensi terlibat menggunakan sistem tersebut untuk
memberi ulasan, memantau permohonan pemajuan dan ketika mesyuarat.

“Penggunaan atas talian merangkumi tujuan menerima, merekod dan memantau semua permohonan cadangan pemajuan di Putrajaya sehingga pengeluaran CCC. Secara tidak langsung, ia turut mengurangkan penggunaan kertas yang turut membantu pencapaian ke arah Putrajaya Bandar Hijau menjelang 2025,” ujarnya.

Katanya lagi, kini permohonan dan pemprosesan yang dilaksanakan sepenuhnya secara atas talian lebih mesra pengguna. Malah pengguna turut boleh mengakses sistem ini di mana sahaja dan pada bila-bila masa.

“Sistem ini dinaik taraf berasaskan laman web berbanding sistem e-pemajuan terdahulu yang bersifat intranet. Ia bukan sahaja memudahkan kerja semua pihak bahkan lebih sistematik sekaligus PPj dapat memantau permohonan agar mematuhi tempoh piagam,” ujarnya.

Susulan keberkesanan sistem ini yang bakal diguna pakai di semua PBT secara berperingkat, maka KPKT telah melantik PPj untuk membangunkan Sistem OSC 3 Plus One Online yang berasaskan source code Sistem Pemantauan OSC 3.0 PPj.

“Sistem OSC 3 Plus One Online telah dibangunkan dengan sokongan dana daripada pihak Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Ia telah diguna pakai oleh 10 PBT perintis sejak Jun lalu,” ujarnya.

Bagi memastikan ia sentiasa relevan, menjelang tahun 2020, PPj berhasrat untuk melaksanakan integrasi sistem ini dengan Sistem GIS PPj, kemudahan Chatbot dan pemantapan pelaksanaan sepenuhnya digital melalui penggunaan digital signature bagi mencapai visi Putrajaya Mampan 2025.

Mengorak langkah sebagai PBT yang berdaya saing dan terkehadapan, beberapa anugerah berjaya dirangkul antaranya Anugerah Presiden sempena penganjuran Malaysian Institute of Planners Planning Excellence Awards (MIPPEA18).

“PPj akan terus kehadapan dengan inisiatif menaik taraf dan menambah baik sistem atas talian ini dari masa ke semasa dengan mengambil kira keperluan semua pengguna,” katanya.

Terbaru pada Julai lalu, PPJ menerusi kumpulan OSCXpert telah menyertai Konvokesyen RTEx Team Excellence Wilayah Utara di Hotel Bayview Pulau Pinang bagi mendapatkan
pengiktirafan anugerah emas oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas