Berita

Kelab Woodball Prang Besar fokus komuniti Putrajaya

AKTIVITI sukan Woodball yang kini mendapat tempat di negara ini.
AKTIVITI sukan Woodball yang kini mendapat tempat di negara ini.
- Diterbit 19 Julai 2019 12:48 AM MYT

PUTRAJAYA – Dalam usaha memperkenalkan sukan woodball kepada warga Putrajaya, Kelab Woodball Prang Besar giat melakukan pelbagai program bagi menarik minat warga setempat.

Menurut Presiden Kelab Woodball Prang Besar, Asrul Nizwan Mohamad, sukan woodball merupakan aktiviti yang berfaedah serta terkenal di 47 buah negara di seluruh dunia termasuk Malaysia.

“Saya tidak mahu warga Putrajaya tertinggal jauh sedangkan negeri-negeri lain sudah pun aktif menghantar wakil. Untuk itu, melalui kelab ini, kita berusaha mempromosikannya dalam kalangan penjawat awam dan komuniti Putrajaya.

“Justeru saya berasa terpanggil untuk menjadikan ia sebagai salah satu sukan alternatif memandangkan sukan ini tidak melibatkan kos yang tinggi dan sesuai untuk semua golongan,” ujarnya.

Pelbagai program telah diadakan dalam rangka bagi memperkenalkannya kepada penduduk setempat. Akan datang satu bengkel pengenalan woodball bakal diadakan di padang Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) pada Oktober 2019.

“Menariknya program tersebut bakal menyediakan 320 slot kepada penjawat awam untuk merasai keseronokan permainan ini. Ia adalah langkah untuk memupuk minat mereka sebelum menyertainya secara aktif,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas tentang bantuan yang diterima daripada Kementerian Wilayah Persekutuan baru-baru ini, Asrul berkata ia bakal digunakan untuk program Get In One Woodball Challenge serta majlis perasmian laman woodball yang bakal disempurnakan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang akan diadakan tidak lama lagi.

Untuk rekod, Malaysia bakal menjadi tuan rumah pada Kejohanan Woodball Piala Dunia Ke-9 atau lebih dikenali dengan The 9th World Cup Woodball Championship Perlis 2020 (WCWC Perlis 2020) pada 24 hingga 30 Julai 2020.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas