Berita

Kekal patuh PKP ketika Ramadan

TIADA lagi majlis berbuka puasa beramai-ramai tahun ini ekoran wabak Covid-19. Gambar hiasan
- Diterbit 22 April 2020 10:53 AM MYT

PUTRAJAYA – Orang ramai diminta kekal patuh kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang Ramadan ini bagi mengelak penyebaran jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pandemik Covid-19 yang melanda seluruh negara telah memberi kesan ketara terhadap amalan dan norma kehidupan seharian.

“Ia termasuk amalan agama dan tradisi kebudayaan seperti kunjung-mengunjung, perhimpunan keagamaan dan majlis keraian di bulan Ramadan.

“Mengambil iktibar daripada penyebaran jangkitan Covid-19 dalam kluster Pengerang dan sub kluster Rembau, masyarakat diminta untuk kekal patuh kepada PKP dan elakkan aktiviti kunjung-mengunjung ke rumah rakan dan sanak-saudara.

“Ini termasuk perjalanan merentas negeri, daerah dan mukim atau menghadiri perhimpunan besar- besaran termasuk majlis agama dan keraian,” katanya dalam sidang akhbar  harian hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, pihaknya khuatir sekiranya masyarat tetap mengamalkan aktiviti atau tradisi di bulan Ramadan yang sudah menjadi kelaziman.

Katanya, tindakan itu akan mengakibatkan penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan ahli keluarga terutama golongan warga emas dan kanak-kanak.

“Gunalah peluang semasa Ramadan ini
untuk menjalankan aktiviti dan amalan keagamaan seperti persediaan juadah berbuka puasa dan solat berjemaah dengan keluarga di rumah masing- masing.

“Langkah ini dapat membantu kita menjaga dan melindungi ahli keluarga yang dikasihi terutamanya ibu bapa yang tua dan anak-anak kecil daripada dijangkiti penyakit Covid-19,” katanya yang turut meminta amalan penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan dengan sabun terus dilakukan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas