Selebriti

Kek pisang Ayu Damit laris! Tak lupa bantu orang susah

- Diterbit 25 Julai 2021 5:30 PM MYT

PENYANYI Ayu Damit mendedahkan bisnes Kek Pisang yang diusahakan kini berlaku secara tidak dirancang.

Ayu, 32 atau nama sebenarnya, Norayu Damit berkata, perkara tersebut tercetus apabila suaminya, Syed Fauzi Syed Baharuddin teringin untuk makan kek pisang hasil air tangannya sendiri.

“Idea nak jual kek pisang terjadi secara tak sengaja sebab pada awalnya, suami yang teringin nak makan. Jadi saya fikir mengapa tak buat buat sendiri dan mulai cari cara penyediaannya menerusi Google dan YouTube.

“Saya cuba buat dan kebetulan, rakannya ada datang rumah dan saya pelawa mereka untuk sama-sama rasa. Lalu, mereka ada cadangkan mengapa tidak jual sebab katanya sedap. Keesokannya harinya, saya cuba buat lagi untuk tambah baik resipi,” jelasnya.

Penyanyi yang kini muncul menerusi single Permata ini menambah, respon baik yang diterima secara tak langsung buat dirinya lebih semangat.

“Saya jual sebiji RM25 dengan anggaran berat satu kilogram. Saya mula bisnes ini lebih sebulan lalu dan sehingga kini, ia sudah terjual hampir 200 biji kek.

“Paling banyak saya boleh buat dalam 20 biji sehari, bergantung kepada berapa orang yang tempah. Setakat ini semuanya berjalan dengan baik, cuma saya berehat beberapa hari sebelum ini saya berehat kerana kematian bapa.

“Boleh dikatakan ini bisnes baru, apatah lagi dengan situasi semasa pun aktiviti seni agak terbatas. Jadi mengapa tidak untuk saya ‘selit’ ikhtiar ini untuk tambah rezeki.

“Kalau nak diikutkan, ini bisnes kelima yang saya usahakan dari rumah selepas cili jeruk, bahulu, rojak dan kerepek pisang.

“Tapi setiap menu yang saya buat tidaklah untuk buat bisnes atau apa. Sebab saya lebih suka cuba dan kongsikan air tangan dengan kawan-kawan terlebih dulu. Tanya pandangan mereka dan sebagainya sebab saya faham, citarasa orang berbeza-beza.

“Kemudian, barulah saya fikir untuk buat langkah seterusnya. Mudah-mudahkan bisnes ini berpanjanganlah, insya-Allah,” katanya.

Ditanya sama ada dia turut terlibat dalam membantu golongan memerlukan sepanjang fasa pandemik, Ayu lebih selesa untuk tidak terlalu bercerita.

“Saya dan suami memilih untuk tidak berkongsi mengenai hal tersebut. Adalah bantu tapi biarlah kami sahaja yang tahu. Bukan semua hal kita perlu kongsikan di media sosial, bagi saya.

“Sebab bimbang kalau kongsi berlebih-lebih, nanti disalah erti. Jadi baik buat senyap-senyap sahajalah.

“Ada yang hantar teks secara peribadi di media sosial dan ada yang kita terus bantu kalau nampak di depan mata. Malah ada juga yang tanya sama ada saya boleh boleh beli barang atau produk yang mereka jual. Jadi saya sokong dengan cara membelinya.

“Sekurang-kurangnya saya cuba beri semangat pada pada mereka yang ikhtiar kembangkan kemahiran melalui berniaga misalnya demi kelangsungan hidup,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas