Selebriti

Kecewa digelar isi neraka, Luahan Cikgu Ery dalam ‘ Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’

segala kisah yang dihadapi dicurahkan dalam buku berjudul ‘Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’.
- Diterbit 21 Mei 2023 11:12 PM MYT

“PALING terkesan di hati, saya pernah digelar isi neraka kerana saya merupakan golongan seperti ini, ibaratnya saya ini tidak layak masuk syurga,” luah pempengaruh popular yang juga bekas mak nyah, Cikgu Ery.

Cikgu Ery atau nama sebenarnya Mohd Khariri Mohamad Ramli akui pernah rasa terhina dengan gelaran itu sehingga membuatkannya rasa putus asa untuk berubah menjadi lelaki sebenar.

Berkongsi ceritanya sepanjang 12 tahun meninggalkan dunia mak nyah, segala kisah yang dihadapi dicurahkan dalam buku berjudul ‘Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’.

“Karya yang saya ceritakan dalam buku ini sudah lama ditulis berdasarkan pengalaman masa lalu saya sebagai mak nyah. Syukur Alhamdulillah, akhirnya buku ini dapat diterbitkan juga.

“Buku ini bukan diterbitkan untuk golongan seperti saya sahaja, ia juga untuk mereka yang nak berubah, tak kisahlah mereka siapa pun. Bukan mak nyah atau penagih yang nak berubah saja, tetapi semua termasuk masyarakat di luar sana,” katanya.

Tambah Cikgu Ery, ramai yang mahu berubah kembali ke pangkal jalan namun usaha mereka tidak disokong malah dilemparkan dengan kata-kata yang menyakitkan hati.

“Dek kerana masalah yang sama dihadapi, saya terbitkan buku merangkumi aspek menyeluruh termasuk perkongsian kepada masyarakat mengenai cara menyantuni dan berdakwah kepada golongan seperti saya atau sesiapa yang ada kisah silam.

“Saya memang tidak berniat nak menunjuk baik tetapi sekadar berkongsi pengalaman saya sendiri. Saya masih ingat, dalam proses mahu berubah, saya menerima kata-kata negatif.

“Saya menyimpan impian agar nukilan saya dalam buku ini mendapat sambutan supaya usaha dakwah dapat disebar luas kepada masyarakat pelbagai golongan,” katanya.

CIKGU Ery nerkongsi ceritanya sepanjang 12 tahun meninggalkan dunia mak nyah, segala kisah yang dihadapi dicurahkan dalam buku berjudul ‘Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’.

Menurut Cikgu Ery lagi, kaedah memaksa bukanlah cara yang betul untuk mendidik seseorang menjadi lebih baik.

“Saya cuba mendidik masyarakat menerusi buku kerana segelintir masyarakat di luar sana nak golongan seperti saya berubah tetapi dengan cara memaksa dan keras. Bila mak nyah masuk masjid, mula dipandang pelik sedangkan mereka juga mempunyai keinginan mahu mendalami agama.

“Saya harap buku berharga hanya RM25 ini dapat membuka mata masyarakat di luar sana. Buku ini boleh dibeli terus dengan saya kerana setakat ini ia tidak dijual di pasaran. Buat masa ini, kita terbitkan 200 naskhah untuk edisi pertama.

“Alhamdulillah, respons yang saya terima sangat baik dan setakat ini sudah terima 100 pra tempahan,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas