Berita

Kebajikan rakyat terus diperkukuh, 13,000 bakul makan diagihkan

ANNUAR melihat barang mentah yang akan dijual menerusi inisiatif MyGrocer@Wilayah. - Foto: NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 1 Februari 2021 6:55 AM MYT

BAGI mengukuhkan program kebajikan kepada golongan yang memerlukan, Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) mengagihkan 13,000 Bakul Makanan Kenduri Rakyat Hari Wilayah Persekutuan dengan peruntukan sejumlah RM750,000.

Daripada jumlah itu, 1,000 unit akan diberikan kepada setiap Parlimen di Wilayah Persekutuan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, selaras tema Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) 2021 iaitu ‘Wilayah Persekutuan Wilayah Prihatin’ program yang dianjurkan kementerian juga bersifat keprihatinan kepada warganya terutama golongan miskin bandar dan mereka yang terkesan pandemik COVID-19.

“Bakul makanan berisi barangan keperluan asas ini diberikan secara one-off kepada golongan miskin bandar dan B40 meliputi 13 kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan.

“Ia akan diagihkan secara terus ke kediaman golongan sasar dengan kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP),” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Annuar, bakul makanan adalah kaedah terkini bagi menggantikan ‘signature’ SHWP iaitu Program Kenduri Rakyat yang sering dilaksanakan setiap tahun.

Jelas beliau, selain diterapkan dalam suasana norma baharu, ia juga ditambahbaik dengan pengagihan beras daripada Program MyBeras@Wilayah.

Ujar beliau, meskipun dalam norma baharu, penganjuran program SHWP 2021 tetap berlangsung dan dilaksanakan secara maya (virtual) melalui konsep pelaksanaan yangb berbeza namun kemeriahannya dapat dirasai dan matlamat sambutan Hari Wilayah Persekutuan tercapai.

“Antara program lain yang turut diadakan adalah Kempen Kibar Bendera Wilayah Persekutuan, Wilayah Persekutuan Bermunajat, Pameran Digital Wilayah Persekutuan, Program CSR Hari Wilayah Persekutuan, Pencahayaan Wilayah Persekutuan, Khutbah Jumaat Khas Hari Wilayah Persekutuan, ROL Virtual Bike and Run, Pertandingan Fotografi Jelajah Labuan dan Virtual Musikal Wilayah Prihatin.

“Pencahayaan Wilayah Persekutuan merupakan satu program baharu pada tahun ini. Ia bagi menggalakkan orang ramai dan semua pemilik bangunan menyalakan lampu secara ‘festive mood’ di waktu malam dan menjadikan Wilayah Persekutuan sentiasa vibrant sepanjang Febuari ini,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, cara tersebut dilihat dapat menarik perhatian dan minat semua rakyat untuk bersama-sama keluarga duduk di rumah masing-masing dalam suasana yang meriah serta ceria sekali gus mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, beliau menyeru warga Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama meraikannya secara kreatif dan berkongsi gambar serta video menerusi media sosial dengan meletakkan tanda pagar #WilayahPersekutuanWilayahPrihatin dan #kibarbenderaWP.

“Diharapkan pelaksanaan aktiviti-aktiviti berbentuk keprihatinan dan kebajikan ini akan dapat memberikan manfaat yang besar kepada warga Wilayah Persekutuan yang memerlukan di samping membudayakan penghayatan terhadap sifat keprihatinan dan kecaknaan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas