Berita

Kebajikan 60 penduduk transit tidak diabai PKB

AFFENDI Zahari (dua dari kiri) ketika simbolik penyerahan Bakul Makanan kepada dua wakil kepada 60 penduduk transit Kampung Sungai Baru di Kerinchi Residensi. Turut kelihatan, Lokman Omar (tengah).
- Diterbit 19 Julai 2021 2:13 AM MYT

PERBADANAN Pembangunan Kampong Bharu (PKB) tidak pernah mengabaikan kebajikan serta keperluan 60 penduduk transit Sungai Baru yang menetap di Kerinchi Residensi ketika ini.

Malah kata Pengerusinya, Datuk Affendi Zahari, PKB sentiasa peka dan prihatin dengan kekangan dialami oleh semua penduduk terutama di dalam situasi penularan wabak COVID-19 ketika ini yang menjejaskan segenap aspek kehidupan.

“Atas dasar itu, PKB tidak pernah lupakan mereka malah sentiasa mencari solusi untuk membantu sedaya mampu.

“Hari ini Program Bantuan Bakul Makanan yang dilaksanakan adalah sebahagian daripada usaha berterusan PKB dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru dalam membela nasib ke semua penduduk,” katanya semasa lawatan ke Kerinchi Residensi, semalam.

AFFENDI Zahari bersama-sama Lokman Omar diberi penerangan berkenaan rumah contoh Kerinchi Residensi semasa sesi lawatan PKB baru-baru ini.

Sesi lawatan sambil menyerahkan bantuan Bakul Makanan kepada penduduk itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Datuk TPr Lokman Omar dan Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru, Zulfakar Wahab serta Abdul Hadi Ahmad, mewakili Suez Capital.

Semua pelawat turut meluangkan masa kira-kira sejam untuk meninjau lot-lot kediaman residensi yang dijadikan rumah transit kepada penduduk sungai baru.

Sementara itu, agihan barangan kering antaranya beras, minyak masak, kicap, bihun, susu, tepung dan lain-lain bahan keperluan harian yang setiap satunya dianggar bernilai RM50 itu, diharapkan dapat meredakan keresahan penduduk yang kini turut terkesan penularan pandemik COVID-19.

Mengulas mengenainya, Lokman berkata, agihan bantuan itu dianjurkan secara usahasama PKB, Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru dan Pemaju Suez Capital Sdn Bhd. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas