Berita

Kastam sita rokok putih seludup libatkan cukai RM4.3 juta di Pelabuhan Klang

- Diterbit 7 Oktober 2020 6:49 AM MYT

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 6.46 juta batang rokok putih pelbagai jenama bernilai lebih RM500,000 yang melibatkan cukai kira-kira RM 4.3 juta, di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada Khamis lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan) Datuk Johari Alifiah berkata rokok putih terbabit yang disyaki untuk pasaran tempatan, ditemukan hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena yang ditahan di pelabuhan itu,

“Siasatan awal mendapati kontena itu dikendalikan oleh sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang, Selangor dan melalui dokumen-dokumen yang diperoleh, dagangan ini disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan oleh sindiket ialah dengan mengikrar dagangan sebagai 22 cartons of Message Box Cabinet dalam Bil Muatan, Notis Ketibaan dan Manifes Import (K4).

Kesemua rokok putih tidak berkastam itu dimuatkan di dalam 22 kotak kayu besar, katanya.

“Sebahagian daripada 22 kotak kayu turut diselitkan tong sampah plastik bagi tujuan memadatkan muatan di dalam kotak kayu dan pada masa yang sama untuk mengaburi pihak berkuasa agar tidak mengesyaki kotak kayu itu berisi rokok putih,” katanya.

Kes disiasat menurut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti kastam dan mengelakkan larangan import, dan Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976 kerana cubaan mengelakkan dengan fraudan duti eksais, katanya.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” kata Johari yang menyeru orang awam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88- 8855 atau pejabat kastam terdekat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas