Karipap Alyah laris, anggap rezeki ketika PKP

Karipap Alyah laris, anggap rezeki ketika PKP

PENYANYI Datin Alyah bersyukur apabila karipap mentah yang dijualnya terus mendapat sambutan baik dari kalangan peminat.

Menurut Alyah, idea jual karipap ini timbul  ketika dia melakukan sesi ‘live’ di Instagram bersama pengikutnya baru-baru ini. 

“Pada awalnya saya rasa nak makan karipap untuk menu petang. Jadi sajalah suka-suka ‘live’ di IG pada waktu sama dan saya kata kalau ada yang mahu, bolehlah tempah. 

“Tak sangka pula daripada sekadar bergurau, ramai pula yang berminat untuk buat beli. Ingatkan yang tempah sedikit saja, tapi pembantu saya kata lebih 300 biji tempahan telah diterima. 

“Memang terkejut, tapi saya kira ini salah satu punca rezeki untuk tambah pendapatan dalam fasa pandemik (tempoh Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP) ketika ini. Saya terima tempahan selama beberapa hari dan alhamdulillah, sambutan yang diterima cukup positif. 

“Keluarga saya di Johor pun memang ada yang buka kedai, ambil tempahan buat kuih muih, lauk pauk dan sebagainya. Jadi saya sendiri sudah terbiasa. Tak dinafikan penat bila uli gunakan kudrat sendiri, tapi syukur kerana juga yang sudi nak merasa,” katanya. 

“Bila saya nampak percubaan ini menjadi, saya rancang untuk selang seli menu kuih. Macam contoh, minggu ini karipap dan minggu seterusnya mungkin kuih lain pula. 

“Selain boleh tukar cita rasa, peminat pun boleh menikmati hidangan pelbagai. Tidaklah sama saja.  Kalau ada permintaan dalam kuantiti yang banyak, insya-Allah saya akan usahakan. Cuma sekarang saya kena beli mesin khas kalau nak jalankan projek ini secara berterusan,” katanya. 

Ditanya apa reaksi suami, Datuk Ramli MS, penyanyi Meluruh itu bertuah kerana pemuzik berkenaan menyambut baik usaha yang dilakukannya. 

“Suami menyokong, memandangkan dia dan keluarganya di Singapura juga cukup mahir dalam bab masakan. Ramli minta saya untuk buat bisnes ini secara serius. 

“Malah dia ada rasa dan menilai serta bagi input apa yang perlu ditambah baik. Tapi bila jalankan bisnes ini,  ia tidaklah bermaksud saya nak hadkan kerjaya. Memandangkan situasi negara ketika ini, rasanya lebih baik untuk kita cuba cari hobi lain juga,” katanya lagi yang akan muncul dengan lagu terbaharu berjudul  Thank You Allah yang bakal dilancarkan tahun ini. – WILAYAHKU

CATEGORIES
TAGS