Berita

“Kami hanyalah rakan sekerja” – Khai perjelas hubungan dengan Aina

|KHAI Bahar seronok bekerjasama dengan Aina dalam lagu Nafas Cinta
- Diterbit 16 Januari 2021 5:00 AM MYT

SEBELUM ini,  penyanyi Khai Bahar pernah digosipkan bercinta dengan Siti Nordiana apabila mereka berduet dalam lagu Satukan Rasa.

Terkini, Khai muncul pula dengan lagu duet dengan Aina Abdul berjudul Nafas Cinta. Tidak mustahil selepas ini muncul gosip Khai dan Aina bercinta. 

“Jika ada yang berkata demikian, saya rasa lagu ini berjaya diterjemahkan dengan baik kerana kami telah menghidupkan keserasian dalam lagu ini. 

“Hakikatnya kami hanyalah rakan sekerja yang tidak menyimpan sebarang perasaan. Kami seronok dan mahu bekerjasama lagi jika diberi peluang kerana bersama Aina saya banyak belajar pengalaman baru,” katanya yang juga pernah berduet dengan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

KHAI Bahar seronok bekerjasama dengan Aina dalam lagu Nafas Cinta

Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin,26, berharap peminat menyukai lagu Nafas Cinta duetnya bersama Aina.

“Setiap rakan duet saya mempunyai keistimewaan dan aura masing-masing. 

“Saya melihat setiap tawaran yang datang adalah kesempatan terbaik untuk memajukan diri.

“Saya berharap lagu ini dapat diterima baik dan boleh pergi lebih jauh. Pada masa sama, semoga duet saya dan Aina mampu membuatkan kalian jatuh cinta dengan lagu ini. 

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa memberikan sokongan kepada saya,” katanya lagi. 

Bercerita pengalaman semasa merakamkan lagu ini, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani, 28, berkata semuanya dipermudahkan dan kagum dengan komitmen Khai. 

“Bagi mencipta kererasian, bukan boleh terus dapat. Disebabkan itu Khai sanggup datang ke Seremban untuk rakaman. 

“Pertama, Khai datang merakam demo dulu untuk kami belajar dan fahamkan melodi dan maksud lagu. Kali kedua baru buat rakaman sebenar. Jadi, ia ambil masa juga.

“Khai sangat membantu dan dia sangat menyokong. Walaupun saya masih baharu, tapi dia sangat merendah diri. Khai tidak kisah kena datang ke Seremban, tapi dia sangat memberikan kerjasama,” katanya yang mencipta lagu Nafas Cinta ini bersama Khai. 

Sebelum ini Aina pernah berduet dengan Khai dalam Konsert Minggu Ini Bersama Khai Bahar di RTM.

Jangan lupa dapatkan lagu Nafas Cinta secara sah di  platform-platform digital ya! 

Semoga Khai dan Aina terus sukses!  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas