Berita

Kakitangan positif COVID-19, PROLINTAS laksana sanitasi di plaza tol

- Diterbit 15 Disember 2020 5:31 AM MYT

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) telah menjalankan kerja pembasmian kuman dan pembersihan di Pejabat Operasi Lebuhraya Kajang SILK (SILK) dan kesemua 16 buah plaza tolnya berikutan salah seorang kakitanganya disahkan positif COVID-19, semalam.

PROLINTAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan kerja-kerja berkenaan dijalankan mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pasukan Respons COVID-19 dengan kerjasama KKM juga telah melaksanakan usaha pengesanan kontak rapat bagi kakitangan yang dijangkiti itu.

“Semua rakan sekerja yang berhubung secara langsung dengan pekerja terbabit turut diarahkan untuk menjalani kuarantin kendiri di rumah selama 14 hari dan menjalani ujian swab,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama PROLINTAS, memberi jaminan, bahawa tidak akan berlaku gangguan pada operasi tol dan semua pengguna lebuh raya dinasihatkan mematuhi semua perintah pergerakan dan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) daripada pihak berkuasa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas