Berita

Kaji keperluan wujudkan undang-undang penyelenggaraan lif – Lee Lam Thye

LIF rosak terus membelenggu penghuni strata jika ia tidak diselenggara dengan baik.
- Diterbit 8 Mei 2021 8:44 AM MYT

TAN Sri Lee Lam Thye berharap Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dapat mengkaji keperluan mewujudkan satu undang-undang khas yang boleh dikenakan terhadap syarikat pembekal mahupun kontraktor penyelenggaraan lif di masa hadapan.

LAM THYE

Beliau yang merupakan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat berkata, undang-undang tersebut dilihat penting kerana kebanyakan syarikat pembekal dan kontraktor penyelenggaraan sukar dihubungi selain tidak melakukan tugasan seperti dalam perjanjian bersama pemilik bangunan.

Jelas beliau, DOSH boleh membentangkan peraturan di bawah Akta Kilang dan Jentera 1967 yang lebih memberi fokus kepada kegagalan penyelenggaraan oleh pihak berwajib.

“Mereka (kontraktor) perlu menyelenggara lif dengan baik sepertimana yang diperuntukkan dalam perjanjian bersama pemilik bangunan.

“Ia adalah satu tugas wajib dan jika ada masalah, mereka perlu bertanggungjawab,” katanya ketika dihubungi Wilayahku.

Lam Thye berkata, penyelenggaraan penting kerana lif yang rosak bukan hanya menyusahkan pengguna malah turut membahayakan, berikutan terdapat beberapa insiden maut berlaku disebabkan lif yang tidak diselenggara dengan baik selain faktor uzur.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa supaya penyelenggaraan lif berkala perlu dipertingkatkan dan dilakukan dengan lebih kerap supaya masalah kerosakan dapat diatasi dalam tempoh singkat.

Katanya, masalah kerosakan lif adalah satu perkara yang perlu dipandang serius kerana ia membabitkan keselamatan orang ramai.

“Syarikat yang d ilantik menguruskan operasi lif sepatutnya melakukan pemantauan dengan lebih kerap dan mengikut tempoh masa yang ditetapkan.

“Tindakan juga boleh dikenakan kepada syarikat pengurusan mengikut perjanjiannya dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya gagal melaksanakan tugas penyelenggaraan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas