Kahwin campur jalin perpaduan

Kahwin campur jalin perpaduan

“SIAPA peduli jika seseorang itu sememangnya mencintai seseorang yang berlainan bangsa? Tetapi apabila mereka membencinya, itulah yang menjadi masalah.

Itu antara kata-kata yang terpacul dari mulut Orked, lakonan yang dibawa oleh aktres Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya dalam satu babak filem ‘Sepet’, yang dihasilkan 16 tahun lepas, berkisar kisah percintaan antara pemuda Cina dan wanita Melayu di Malaysia yang menitikberat soal kaum.

Hampir setiap babak dalam filem ‘Sepet’ menyentuh hati Wong Pei Wen, 32, dan suami S. Vicneshvaran, 34, setiap kali bersama-sama menonton filem itu. Jalan ceritanya mempunyai persamaan dengan kesukaran yang mereka sendiri hadapi sebelum mendirikan rumahtangga sebagai pasangan yang berkahwin campur.

“Meskipun ia kisah percintaan antara seorang pemuda Cina dan seorang wanita Melayu tetapi sebagai pasangan India-Cina kami dapati ia ada persamaan dengan kami.

“Berbaloi juga apabila menyintai seseorang yang berbeza dari segi kaum, kebudayaan, identiti, dan agama. Apabila kita bersikap terbuka antara satu sama lain, kita boleh meluaskan perspektif antara satu sama lain, pendekatan kepada dunia dalam pelbagai cara dan malahan kita dapati adanya persamaan dalam perbezaan yang kita harungi.

“Idealnya, rasa cinta itu tidak sepatutnya ada batasan dalam hal-hal sebegini. Dalam banyak perkara, secara jujurnya, kebanyakan rakyat Malaysia tidak mempunyai masalah besar dengan jalinan hubungan antara kaum dan perkara ini sangat biasa berlaku di negara yang berbilang kaum.

“Walaupun kami benar-benar ingin mempercayai bahawa itu adalah norma di negara ini, namun ia sukar untuk menyatakan bahawa ketika kebanyakan orang akan menatap dengan rasa ingin tahu atau dengan sedikit rasa tidak setuju, tetapi kami hanya menerimanya dengan hati terbuka dan cuba mengatasi setiap perjuangan dan rintangan dalam kehidupan perkahwinan kami,” kata Eksekutif Akaun kelahiran Dungun kepada Bernama, baru-baru ini.

TERIMA PERBEZAAN SECARA TOLERANSI

Pasangan India-Cina ini bertemu buat kali pertama pada 2007, ketika belajar di Universiti Tenaga Nasional (Uniten), menerusi program ko-kurikulum.

Mengimbau kembali detik pertemuan pertama beliau dengan Vicneshvaran, Wong berkata beliau menjemputnya untuk menyertai persembahan kumpulannya dalam Jawatankuasa Biro Kebudayaan Cina memandangkan Vicneshvaran suka menari.

“Pada ketika itu, kami masing-masing mempunyai teman lain. Selepas persembahan itu, kami jarang berjumpa sehinggalah menerima ijazah dari Uniten pada 2011 baharulah kami berbalik semula menerusi Facebook.

“Saya masih ingat kami bertemu di restoran Nasi Kandar D’Kayu buat pertama kali, selepas kami menjadi kawan baik… Kami menjadi akrab kerana kami bercakap dalam bahasa yang sama iaitu Mandarin kerana beliau pernah belajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.

“Selepas enam tahun mengenali hati budi antara satu sama lain, kami membuat keputusan untuk berkahwin pada 2016,” katanya.

Berkahwin dengan seseorang dari kaum yang berbeza tidak pernah menjadi isu kepada Wong, tetapi satu-satunya halangan dalam perkahwinan campur ini ialah halangan kebudayaan daripada keluarga beliau sendiri.

“Keluarga saya terutama ibu, berkeras tidak membenarkan saya berkahwin dengan Vic. Berasal dari Dungun, Terengganu, mereka boleh dikatakan tidak pernah bercampur dengan kaum India dan mempunyai tanggapan bahawa orang India suka minum arak dan memukul isteri.

“Hinggakan satu ketika, mereka menganggap Vic telah menggunakan ubat guna-guna ke atas saya dan membawa saya ke kuil untuk mengubatinya, dan saya diberi minum ‘air jampi’… dan sesungguhnya, Vic yang mengingatkan saya agar mengambilnya setiap hari. Beliau tidak sabar untuk melihat sama ada itu berkesan! Saya fikir tidaklah, kerana kami di sini kini hidup bahagia bersama-sama.

“Agak sukar bagi saya… ibu bapa tidak menghadiri perkahwinan saya. Ia mengambil masa yang agak lama juga sebelum mereka lama kelamaan mula menerima Vic sebagai suami saya… ia masih lagi dalam proses ke arah itu,” katanya.

Beliau berkata, keadaan berubah selepas saya melahirkan anak pertama kami dua tahun lepas, apabila ibu dan bapa melawat cucu perempuannya buat pertama kali.

“Kami sungguh terharu, terima kasih kepada anak pertama kami, dialah yang telah menyatukan kami hingga membuatkan ibu bapa saya dapat menerima kami,” katanya.

Wong berkata, selain tabiat baik dan buruk, mereka membawa perbezaan kebudayaan dan kepercayaan ke dalam perkahwinan ini.

“Apabila kami bersikap terbuka antara satu sama lain, kami boleh meluaskan perspektif masing-masing, mendekati dunia dengan cara yang berbeza, dan malahan mendapati ada pertalian dalam perbezaan kami.

“Daripada berpacaran hinggalah mendirikan alam rumahtangga, kami menghormati tradisi antara satu sama lain. Malahan kami mengadakan makan besar “Tahun Baharu Cina”, sambutan Festival Kuih Bulan dan Festival Soltis Musim Sejuk.

“Saya masih ingat sambutan Ponggal pertama saya dengan Vic dengan mencuba masak nasi manis, tetapi sebaliknya ia menjadi bubur!” katanya.

BANGGA MENJADI ANAK CAMPURAN

Dilahirkan daripada seorang bapa berbangsa Melayu dan ibu berbangsa Cina, Mohd Amin Ismail, 55, dibesarkan dengan nilai-nilai penerimaan, toleransi dan kepercayaan memiliki kebebasan untuk memilih.

Dibesarkan sebagai seorang pemuda berdarah campur, ia agak keliru pada mulanya bagi beliau tetapi kini beliau mempelajari untuk menghormati pelbagai kebudayaan dengan mempunyai rakan dari pelbagai etnik.

“Saya masih ingat selalu diejek oleh rakan kelas dengan gelaran ‘Ah Pek’ ketika bersekolah di sekolah kebangsaan kerana rupa saya mirip orang Cina dan berkulit putih.

“Namun semakin meningkat usia, ia menjadi satu kelebihan. Kini saya semakin kelihatan seperti seorang lelaki Melayu tetapi saya boleh bertutur lancar bahasa Kantonis dan sedikit Mandarin, jadi ia lebih mudah bagi saya untuk berkomunikasi dengan rakan berbangsa Cina dan ia satu bonus juga untuk karier saya,” kata pelukis pelan dari Kajang, Selangor itu.

Mohd Amin berkata, membesar dalam keluarga berbilang bangsa mengajar beliau untuk lebih terbuka kepada pelbagai pemikiran dan yang paling penting, untuk menerima anggota keluarganya sebagai siapa mereka.

“Saya berbangga menjadi sebahagian daripada kepelbagaian kebudayaan, ia mengajar saya dan adik beradik saya untuk menilai kedua-dua dunia itu sepanjang kami membesar,” kata anak ketiga daripada lima adik beradik.

PERKAHWINAN CAMPUR SEMAKIN BERTAMBAH

Ramai rakyat Malaysia berkahwin dengan kaum lain mengikut trend seluruh dunia yang mana jaluran etnik semakin pudar.

Laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Jabatan Statistik Malaysia menyatakan bahawa sembilan peratus daripada jumlah perkahwinan pada 2018 melibatkan perkahwinan campur.

“Daripada 18,509 perkahwinan campur pada 2018, didapati 48.3 peratus adalah orang Islam dan 51.7 peratus melibatkan bukan Islam dalam perkahwinan antara kaum,” menurut kenyataannya yang dikeluarkan pada November 2019.

Menurut Pegawai Jabatan Pendaftaran Perkahwinan Kuil Thean Hou Kuala Lumpur, Chow Soo Sin, 37 daripada 5,152 perkahwinan bukan Islam pada tahun lepas melibatkan mereka daripada kumpulan etnik yang berbeza. Kebanyakan mereka adalah India-Cina atau pasangan warga asing.

Beliau berkata, perkahwinan campur dalam kalangan pelbagai kaum boleh secara langsung mengukuhkan hubungan dan menjalinkan perpaduan sehingga memperkayakan komuniti.

“Ia meningkatkan keharmonian kaum dalam kalangan kita semua serta dapat membina kepelbagaian,” katanya.

KEPELBAGAIAN MENERUSI PERKAHWINAN CAMPUR

Mengulas isu sama, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata trend perkahwinan campur pada masa kini semakin popular, sekali gus mencerminkan kepelbagaian budaya dalam kaum dan memupuk semangat perpaduan.

“Jika dahulu ramai yang akan menentang perkahwinan campur, terutamanya melibatkan pasangan bukan Islam dan Islam kerana bukan Islam perlu menukar agama mereka sebelum berkahwin menyebabkan keluarga tidak boleh menerimanya.

“Namun sekarang ramai yang tidak kisah malah dapat menerimanya secara terbuka, ia bukan sahaja mencerminkan penerimaan budaya berbeza antara dua keluarga tetapi juga secara tidak langsung mereka mengamalkan kepelbagaian budaya, seperti perayaan dan adat istiadat kedua-dua kaum disambut bersama-sama,” katanya.

Katanya, semangat perpaduan dan cinta akan negara perlu dipupuk bukan hanya menerusi perkahwinan campur malah pendidikan sejak kecil lagi.

“Bak kata pepatah: Melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semangat perpaduan antara kaum perlu dididik sejak kecil bermula dengan ibu bapa lagi bukan hanya mempunyai kepelbagaian budaya dalam institusi keluarga sahaja, tetapi juga komuniti dan masyarakat.

“Pendidikan sejak awal dengan menghormati nyanyian lagu kebangsaan serta bangga mengibarkan Jalur Gemilang sebenarnya dapat memupuk semangat patriotisme, selain mesra bergaul dengan rakan-rakan bukan sebangsa dan bertutur dalam bahasa kebangsaan.

“Saya percaya dengan usaha sejak kecil oleh ibu bapa dan guru untuk mendidik anak bangsa sudah pasti dapat melahirkan masyarakat lebih patriotik dan cintakan tanah air,” katanya.

Perdana Menteri pernah berkata bahawa rakyat Malaysia akan menjadi masyarakat yang lebih harmoni dan bersatu di dunia jika prinsip Rukun Negara dipatuhi dengan teliti dalam interaksi sehari-hari, secara fizikal atau maya dalam media sosial.

“Sekiranya kita dapat terus bersikap sopan, bertimbang rasa dan santun dalam interaksi seharian, saya yakin kita akan menjadi masyarakat yang paling harmoni dan bersatu di dunia,” katanya. – Oleh Soon Li Wei -Bernama

(Diterjemah dan disunting oleh Cik Rashidah Abd Ghani)

CATEGORIES