Berita

Kaedah YWP urus pengagihan baucer persekolahan dipuji

JAHAN bersama pekerjanya meneliti saiz seluar sekolah yang dipakai penerima baucar semasa sesi penebusan.
- Diterbit 8 Disember 2019 2:10 PM MYT

LOKMAN HAKIEM ABD. SAMAD

PUTRAJAYA – Kaedah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mengagihkan Baucer Riang Ria Kembali Ke Sekolah dipuji ibu bapa kerana proses pengambilan kelengkapan persekolahan itu berjalan lancar.

Ujar seorang pekerja swasta, Mohd. Sahrill Mohd, 44, bagusnya kaedah YWP ini adalah kerana ibu bapa berpeluang memilih sendiri saiz baju serta seluar yang dipakai oleh anak-anak dalam tempoh setahun.

“Jika anak-anak diberi baju yang sudah siap dimasukkan dalam plastik, saiznya belum tentu betul sama ada kecil atau besar sekali gus boleh jadi satu pembaziran kerana baju tersebut mungkin tidak dipakai.

“Selain terpaksa disimpan sahaja, perkara sedemikian juga mungkin memberi kesan kepada penerima lain yang sepatutnya mendapat saiz pakaian yang sesuai tetapi tidak ada dalam simpanan,” katanya.

Mohd. Sahrill berkata demikian kepada Wilayahku sewaktu ditemui di salah sebuah pusat penebusan Baucer Riang Ria Kembali Ke Sekolah yang bertempat di Presint 15 di sini hari ini.

Difahamkan, sebanyak 1,500 baucer persekolahan bernilai RM120 bagi setiap satu telah dikeluarkan bermula November kepada pelajar yang terpilih dari keluarga yang benar-benar memerlukannya.

IBU bapa mengisi borang yang disediakan sebelum menebus baucar.

Sementara itu, Nahimah Muhammad Saad, 35, yang juga merupakan pekerja swasta berpuas hati dengan pengagihan baucer dari YWP dan penubuhan pusat penebusan baucer sementara juga wajar dipuji.

“Ini kerana petugasnya berikan kerjasama yang sangat baik selain ibu bapa serta anak-anak diberi ruang masa untuk memilih pakaian yang benar-benar sesuai.

“Perkara ini bukan sahaja memudahkan urusan ahli keluarga yang hadir malah proses pengambilan kelengkapan persekolahan itu berjalan baik,” katanya.

Mengulas perkara yang sama, suri rumah, Nor Hafizah Abdullah, 34, melihat usaha yang digerakkan YWP adalah bersifat murni dan perlu diteruskan pada masa depan.

“Masih ada ahli keluarga yang memiliki bilangan anak ramai tetapi tidak berpeluang untuk menerima bantuan berupa baucer ini dan ia pasti bebankan ibu bapa tersebut.

“Tak dinafikan menerusi baucer ini, ramai ibu bapa dapat menarik nafas lega kerana perbelanjaan untuk pakaian sekolah anak-anak sudah boleh ‘dipejamkan mata’ dan kini, hanya fokus pada keperluan yang lain pula,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas